KJ anggap Anwar memang jiwa reformis, kagum daya tahan PM dalam politik
Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, beliau percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sememangnya mempunyai jiwa reformis, namun pelaksanaan agenda reformasi itu berdepan pelbagai kekangan apabila berada di dalam kerajaan.
Menerusi podcast BoraKrasi, Khairy berkata beliau percaya Anwar bercakap berdasarkan apa yang benar-benar diyakininya dan bukan sekadar retorik politik.
“Saya rasa dalam hati dia memang reformis lah. Saya rasa dia cakap apa yang dia percaya. Dia cuba buat.
“Dia bukan orang baru dalam kerajaan. Pernah jadi Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, beliau sangat berpengalaman,” katanya.
Bagaimanapun, Khairy berpendapat terdapat beberapa perkara yang mungkin “terlajak janji” ketika diucapkan, sehingga sukar dilaksanakan apabila kembali memegang kuasa.
Walaupun mengakui banyak perkara beliau tidak setuju dengan Anwar, Khairy berkata satu perkara yang paling dikaguminya terhadap Perdana Menteri ialah daya tahan politik yang luar biasa.
“Saya bukan peminat dia ya, tapi I want to be fair. Saya seorang yang objektif.
“Kalau orang tanya saya apa ciri-ciri Datuk Seri Anwar yang saya paling kagum, bagi saya adalah daya tahan dia,” katanya.
Khairy turut membandingkan pengalamannya selepas disingkirkan daripada parti dengan perjalanan panjang Anwar dalam politik negara.
“Saya ini baru tiga tahun kena buang parti. Saya rasa betapa susahnya untuk saya survive. Bulan-bulan pertama saya kena buang ni, tak ada siapa jawab telefon saya,” katanya.
Menurut Khairy, apa yang dilalui Anwar jauh lebih berat apabila pernah dipukul, dipenjarakan dan diaibkan di mata dunia, namun masih tidak berputus asa untuk kembali memperjuangkan apa yang dipercayainya.
“Dia ni kena pukul, dihumban dalam penjara, diaibkan dekat satu dunia.
“Sama ada anda setuju atau tidak, dia bagus atau tidak sebagai PM, itu tolak ketepi. Tapi dari segi daya tahan… takkanlah orang yang melalui segala itu, tak percaya kepada benda yang dia nak buat,” katanya lagi
BACA JUGA Bersatu di ambang perpecahan, lebih 200,000 ahli didakwa tinggalkan parti