KPKM galak pertanian bandar, tanam sayur Walau ruang rumah sempit

FOTI BERITA: Program Walkabout Pusat Informasi Pertanian Kebuniti (Gardentopia) disempurnakan oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Rooftop Podium 1, Aras 5, Blok 4G2, Wisma Tani KPKM, Putrajaya. 25hb Mei 2026 (Isnin)

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu menegaskan pendekatan “walk the talk” yang dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam menggalakkan masyarakat mengusahakan pertanian komuniti dan tanaman makanan di kawasan kediaman masing-masing.

Menurut beliau, program yang digerakkan melalui Jabatan Pertanian itu bukan sekadar kempen berbentuk teori, sebaliknya memberi tunjuk ajar praktikal kepada masyarakat mengenai kaedah penanaman sayuran dan tanaman makanan walaupun di kawasan yang sempit seperti rumah teres dan kondominium.

Beliau memaklumkan pelbagai jenis tanaman makanan seperti cili api, limau, kangkung, sawi, salad, pegaga dan kesum dipamerkan dalam program tersebut sebagai contoh tanaman harian yang mudah diusahakan di kawasan kediaman.

Katanya, konsep pertanian bandar menggunakan sistem solar yang diperkenalkan itu mampu membantu penanaman secara lebih berterusan dan sistematik dengan kos sekitar RM5,000 hingga RM6,000 bagi satu set.

Mohamad turut memuji usaha komuniti yang terlibat dalam pertanian kecil-kecilan dan berskala besar bagi membantu memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara.

Beliau berkata, seruan menghidupkan semula konsep Buku Hijau kini semakin mendapat sambutan pelbagai lapisan masyarakat termasuk di Putrajaya dan Shah Alam.

Dalam sidang media sama, beliau turut menyentuh isu penanaman padi di Kedah dan Perlis susulan laporan hanya sebahagian kecil pesawah memulakan musim penanaman.

Menurutnya, berdasarkan tinjauan semasa, keadaan bekalan air di kawasan sawah dan empangan menunjukkan perkembangan positif dan beliau yakin para pesawah akan memulakan penanaman dalam masa terdekat selepas Aidiladha.

“Kita melihat air di petak sawah telah ada dan paras empangan juga mula meningkat. MADA sentiasa memantau perkembangan ini dan kerajaan turut menyalurkan bantuan berkaitan pembajakan serta keperluan pesawah,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan kenaikan harga sayur di Kelantan sehingga RM2 sekilogram, beliau berkata pihaknya akan mendapatkan laporan segera daripada FAMA, namun setakat ini tiada kenaikan mendadak dikesan di Lembah Klang secara keseluruhan.

Beliau turut mengakui isu kenaikan harga baja merupakan cabaran global yang turut dibincangkan di peringkat antarabangsa, termasuk melibatkan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO).

“Kerajaan akan melakukan intervensi dari semasa ke semasa mengikut kemampuan bagi memastikan bekalan makanan negara kekal stabil,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberi jaminan bekalan lembu korban untuk Aidiladha tahun ini adalah mencukupi dan situasi bekalan makanan negara secara keseluruhannya masih berada pada tahap terkawal.