Satu lagi projek tebatan banjir Kerajaan Persekutuan di Johor tunjuk perkembangan maju
Satu lagi projek Kerajaan Persekutuan di Johor iaitu Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Fasa 3 Pakej 1 di Mukim Pogoh, mencatat kemajuan yang memberangsangkan apabila mendahului jadual pelaksanaan selama 157 hari.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, projek RTB Fasa 3 Pakej 1 Sungai Muar itu kini merekodkan kemajuan fizikal sebanyak 38.84 peratus berbanding jadual asal 19.98 peratus.
Beliau berkata demikian selepas meninjau perkembangan projek berkenaan bagi melihat sendiri status semasa pelaksanaan serta memastikan segala isu di tapak ditangani segera demi kelancaran projek.
Menurut beliau, susulan banjir besar Johor pada Mac 2023, Kerajaan Persekutuan telah menyegerakan pelaksanaan projek-projek RTB bernilai lebih RM600 juta bagi menghadapi ancaman banjir dan perubahan cuaca.
“Semua projek kini dipantau rapi supaya dilaksanakan dengan telus, amanah dan memberi manfaat sebenar kepada rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menerusi Belanjawan 2026, sebanyak RM2.9 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan 43 projek RTB berkeutamaan tinggi termasuk projek baharu RTB Sungai Chaah di Segamat.
Projek tersebut dijangka memberi impak besar kepada penduduk Sekijang dan kawasan sekitar dalam mengurangkan risiko banjir.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk menjemput Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ke Sekijang bagi melihat sendiri perkembangan projek-projek berkenaan.
Menurutnya, projek RTB itu membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memastikan keselamatan rakyat, melindungi kediaman serta mengurangkan risiko banjir di Johor.
“Insya-Allah, kita akan menjemput Perdana Menteri ke Sekijang bagi melihat sendiri perkembangan projek-projek ini dan ia bukan sekadar angka dan janji, tetapi bukti kesungguhan dan komitmen Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan keselamatan rakyat, melindungi kediaman serta mengurangkan risiko banjir di Johor,” katanya.