Di sebalik agihan 260 ekor lembu korban MADANI, PM Anwar titip pesanan tentang perpaduan umat

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyempurnakan agihan 260 ekor lembu korban MADANI kepada masyarakat di Permatang Pauh melibatkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Seberang Jaya, Penanti dan Permatang Pasir.

Beliau berkata, ibadah korban dan haji tidak pernah terpisah daripada makna pengorbanan, ketabahan serta kepatuhan mutlak kepada Allah SWT sebagaimana dirakamkan menerusi kisah Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS dalam al-Quran.

Menurut beliau, daripada pengorbanan itulah lahirnya nilai ihsan, kesabaran dan kekuatan jiwa dalam menghadapi pelbagai ujian, bala serta krisis kehidupan.

“Mata rantai perjuangan para anbiya’ juga sarat dengan penderitaan dan ujian.

“Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW mengingatkan bahawa manusia yang paling berat ujiannya ialah para Nabi, kemudian orang-orang soleh dan mereka yang menuruti jalan perjuangan tersebut.

“Maka perjuangan membela nasib rakyat, menegakkan keadilan dan mempertahankan nilai kemanusiaan tidak pernah sunyi daripada cabaran dan pengorbanan,” katanya.

Dalam masa sama, Perdana Menteri turut mengimbau kisah tokoh pejuang hak asasi terkenal Amerika Syarikat (AS), Malcolm X yang menemukan makna persaudaraan sejati ketika menunaikan haji di Makkah.

Katanya, pengalaman Malcolm X melihat manusia pelbagai bangsa dan warna kulit berhimpun sebagai satu umat tanpa tembok perkauman dan kebencian memberi pengajaran besar kepada dunia Islam.

Beliau turut menyentuh karya orientalis Belanda, Snouck Hurgronje yang mengkaji masyarakat Islam di Jawa dan Aceh pada era penjajahan Belanda.

Ujarnya, karya itu memperlihatkan hakikat bahawa umat Islam hanya akan dihormati apabila memiliki kekuatan ilmu, akhlak, ekonomi, perpaduan dan kepimpinan, bukannya sekadar retorik atau emosi yang memecah-belahkan masyarakat.

“Aidiladha harus mengajar kita bahawa kekuatan umat dan negara tidak dibina atas kebencian dan perpecahan, tetapi melalui pengorbanan, kesatuan hati dan kesediaan memikul amanah demi rakyat serta tanah air tercinta.

“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap ikhtiar dan bantuan benar-benar sampai kepada rakyat dengan semangat ihsan dan kemanusiaan yang menjadi teras perjuangan ini,” kata Anwar lagi.

BACA JUGA Selepas empat hari dicari, bomba dedah butiran penemuan jasad Nur Izzati