Ramai tercicir, keliru rakyat mula hilang sabar isu BKJ
Pelaksanaan Bantuan Kasih Johor (BKJ) terus menjadi perhatian apabila semakin ramai rakyat didakwa meluahkan rasa kecewa dan keliru terhadap kaedah pelaksanaannya.
Ketua AMK Tebrau, Jalex Lee berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi maklum balas yang diterima semasa program Kaunter Bergerak di Pasar Malam Austin Crest baru-baru ini.
Menurut beliau, hampir 90 peratus aduan dan pertanyaan yang diterima daripada orang ramai berkait secara langsung dengan BKJ.
“Ramai rakyat meluahkan rasa kecewa dan keliru terhadap pelaksanaan bantuan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, antara isu utama dibangkitkan ialah terdapat rakyat yang benar-benar memerlukan bantuan tetapi tercicir daripada senarai penerima.
Selain itu, katanya, masih ramai yang tidak memahami keseluruhan proses kelayakan untuk menerima bantuan berkenaan.
“Ada yang benar-benar memerlukan tetapi tercicir, dan ada juga yang masih tidak faham tentang keseluruhan proses kelayakan untuk menerima Bantuan Kasih Johor.
“Ini perkara yang perlu diberi perhatian serius,” katanya lagi.
Menurut Jalex, program turun padang yang dilakukan bukan sekadar mendengar rungutan rakyat, sebaliknya bertujuan membawa suara mereka supaya penambahbaikan dapat dilakukan oleh kerajaan negeri.
Beliau berharap kerajaan Johor dapat meneliti semula beberapa aspek pelaksanaan BKJ yang didakwa menyusahkan rakyat.
Katanya, antara perkara yang perlu diberi perhatian termasuk lokasi pengambilan bantuan, penjelasan berkaitan syarat kelayakan, serta proses rayuan yang lebih jelas dan mesra rakyat.
“Saya berharap kerajaan negeri dapat menambah baik pelaksanaan Bantuan Kasih Johor yang dilihat menyusahkan rakyat, khususnya dari segi lokasi pengambilan bantuan, penjelasan kelayakan, serta proses rayuan agar lebih jelas dan mesra rakyat,” katanya.
BACA JUGA JPJ ‘U-Turn’, urusan tukar hak milik online dibuka semula