RON95 kekal RM1.99 walau Asia Barat bergolak, PM beri jaminan bekalan minyak cukup
Bekalan petrol dan diesel negara masih mencukupi ketika ini walaupun krisis di Asia Barat dan keadaan ekonomi global memberi tekanan terhadap rantaian bekalan tenaga dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga komited untuk mengekalkan harga minyak RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter.
Menteri Kewangan berkenaan berkata, hubungan baik Malaysia dengan beberapa negara termasuk Iran membantu memastikan laluan bekalan minyak negara melalui Selat Hormuz berjalan lancar setakat ini.
“Hubungan baik dengan Iran ini membantu bekalan minyak cukup setakat ini, sampai Julai…
“Insya-Allah, diesel pun cukup walaupun hari itu ada masalah sedikit diesel tiada, naik sedikit harga kerana kita beli daripada luar yang melalui Selat Hormuz. Insurans naik, tambang kapal pun naik.
“Namun setakat ini, minyak RON95 kekal RM1.99,” kata beliau.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Agihan Perdana Lembu Korban MADANI Parlimen Permatang Pauh di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Inisiatif bantuan
Menurut Anwar, susulan peningkatan kos diesel, kerajaan turut melaksanakan pelbagai inisiatif bantuan termasuk program BUDI MADANI bagi membantu golongan petani, nelayan, pengusaha traktor, bas sekolah dan sektor pengangkutan.
Sementara itu, kata beliau, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian dijadual menghubunginya pada jam 6 petang ini bagi membincangkan perkembangan semasa susulan konflik yang melanda rantau Asia Barat.
“Hubungan (baik dengan Iran) itu membantu kita. Ketika Iran diserang oleh rejim Zionis Israel, kita lahirkan simpati.
“… dan kemudian apabila kita agak susah, kapal minyak kita nak lalu Selat Hormuz, kita (Malaysia) antara yang pertama yang dapat lepas.
“Jadi, kapal kita antara terawal lalu Selat Hormuz dan sampai ke Pengerang (Johor),” kata Anwar.
Tambahnya, Malaysia juga bersyukur kerana keadaan bekalan bahan api negara masih terkawal berbanding beberapa negara jiran yang kini berdepan tekanan lebih serius seperti Filipina.