Bukan sekadar cakap, MADANI aktif buka laluan pembiayaan untuk PMKS

Ketika ketidaktentuan ekonomi global terus memberi tekanan kepada kos operasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) kini mempergiat usaha memperluas akses pembiayaan kepada golongan usahawan yang sering tercicir daripada sistem kewangan arus perdana.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata ramai PMKS khususnya perusahaan mikro dan kecil masih berdepan kesukaran mendapatkan pembiayaan kerana kekangan rekod kredit serta kos pembiayaan yang tinggi.

“Ramai PMKS, khususnya perusahaan mikro dan kecil, masih menghadapi kesukaran mendapatkan pembiayaan, terutamanya disebabkan rekod kredit yang terhad serta kos pembiayaan yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Justeru, KUSKOP mengalu-alukan peranan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) dalam membantu merapatkan jurang pembiayaan menerusi skim jaminan, khidmat nasihat kewangan serta pelbagai inisiatif pemudah cara pembiayaan.

Menurut Steven, perkara itu dibincangkan semasa beliau mempengerusikan mesyuarat bersama CGC bagi memperkukuh akses pembiayaan dan modal kepada PMKS di Malaysia.

Dalam mesyuarat tersebut, CGC turut membentangkan beberapa inisiatif yang sedang dilaksanakan termasuk skim jaminan kredit, kemudahan pembiayaan, latihan pemasaran digital, program pembangunan usahawan belia serta sesi jaringan PMKS di seluruh negara.

Selain itu, beliau meminta agensi di bawah KUSKOP khususnya SME Corp Malaysia memperkukuh kerjasama strategik dengan CGC serta meningkatkan hebahan mengenai bantuan dan saluran pembiayaan yang bersesuaian.

Antara platform yang akan diperkasa termasuk khidmat nasihat pembiayaan MyKNP dan portal rujukan pembiayaan dalam talian imSME yang disokong oleh CGC bersama Bank Negara Malaysia.

Steven berkata KUSKOP komited meneruskan kerjasama dengan institusi kewangan, institusi kewangan pembangunan serta rakan ekosistem bagi meningkatkan daya tahan PMKS dan menjayakan agenda “Hebatkan Perniagaan Malaysia”.

BACA JUGA Hannah Yeoh umum berita gembira buat 244 peniaga kecil Putrajaya