Kondo mewah RM28 juta guna duit 1MDB dirampas AS

Selepas bertahun-tahun diburu pihak berkuasa antarabangsa, skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini menyaksikan satu lagi aset mewah dikaitkan dengan Low Taek Jho atau Jho Low disita oleh kerajaan Amerika Syarikat.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mengumumkan pihaknya memperoleh perintah mahkamah untuk merampas sebuah kondominium mewah di New York yang didakwa dibeli menggunakan dana yang diseleweng daripada 1MDB.

Turut disita ialah hasil sewaan hartanah terbabit, sekali gus menamatkan kes pelucuthakan sivil membabitkan aset bernilai lebih AS$6 juta (kira-kira RM28 juta).

Menurut DOJ, aset berkenaan dikaitkan dengan konspirasi pengubahan wang haram antarabangsa melibatkan dana 1MDB yang berlaku antara 2009 hingga 2015.

“Berbilion dolar dana milik 1MDB telah diseleweng oleh pegawai kanan dana itu bersama sekutu mereka menerusi skim jenayah melibatkan pengubahan wang haram dan pecah amanah antarabangsa,” menurut kenyataan DOJ hari ini.

Siasatan mendapati dana berkenaan digunakan untuk membeli sebuah unit kondominium mewah di New York bagi manfaat pembantu peribadi Jho Low, Catherine Tan May Ling.

Di bawah perintah pelucuthakan itu, unit kondominium terbabit bersama hasil sewaan yang dipegang Catherine Tan akan dirampas oleh kerajaan AS.

Jho Low yang masih diburu pihak berkuasa Malaysia dan AS terus dianggap antara dalang utama skandal kewangan terbesar dunia membabitkan pengubahan wang haram antarabangsa.

Skandal 1MDB sebelum ini mencetuskan siasatan besar-besaran di beberapa negara selepas berbilion dolar didakwa diseleweng dan digunakan untuk membeli aset mewah, karya seni, hartanah, kapal layar serta membiayai gaya hidup elit.

Kes pelucuthakan terbaru itu dikendalikan Bahagian Pengubahan Wang Haram, Narkotik dan Pelucuthakan DOJ dengan bantuan Federal Bureau of Investigation (FBI) serta Perkhidmatan Marshal AS.

DOJ turut merakam penghargaan kepada beberapa negara termasuk Malaysia, United Kingdom, Singapura, Switzerland, Luxembourg, Indonesia, Latvia dan Perancis atas kerjasama membantu siasatan antarabangsa tersebut.

BACA JUGA RENCANA | Semakin Pas serang DAP, semakin kuat DAP?