Langgar integriti, 77 Pegawai Imigresen kena buang kerja sejak 2022
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendedahkan seramai 77 pegawainya dibuang kerja sejak 2022 susulan pelbagai kes salah laku dan pelanggaran integriti dalam jabatan itu.
Daripada keseluruhan 994 kes tatatertib yang berjaya diselesaikan setakat ini, tindakan paling tegas itu diambil terhadap pegawai yang didapati melakukan kesalahan serius termasuk penyalahgunaan kuasa dan dadah.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata bagi tahun ini sahaja, sebanyak 23 kes tatatertib sudah diselesaikan dengan lapan pegawai dikenakan tindakan buang kerja.
“Tindakan ini sebahagian daripada usaha memperkasakan integriti serta mengekang salah laku dalam kalangan warga jabatan.
“Tidak kira di peringkat mana, kita akan mengambil tindakan berdasarkan bukti,” katanya pada sidang media sempena Program Jelajah Wira MADANI bersempena Hari Raya Aidiladha di Depot Imigresen Sementara Millennium, Beranang hari ini.
Menurut beliau, antara kesalahan yang dikesan termasuk pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), meluluskan urusan di luar bidang kuasa, manipulasi urusan kaunter, tidak hadir bertugas, penyalahgunaan dadah serta bersubahat membekalkan bahan terlarang kepada tahanan depot.
Mengulas persepsi masyarakat mengenai lambakan warga asing di beberapa lokasi tumpuan, Zakaria berkata kehadiran mereka terutama ketika hujung minggu dan musim perayaan tidak semestinya membabitkan pendatang tanpa izin.
Katanya, statistik semasa menunjukkan lebih tiga juta warga asing yang berada di negara ini memiliki pas dan permit sah.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan terdapat segelintir pencipta kandungan media sosial sengaja merakam video warga asing bagi meraih perhatian dan publisiti sehingga mencetuskan persepsi negatif masyarakat.
Dalam perkembangan berkaitan, JIM memaklumkan sebanyak 5,010 operasi penguatkuasaan dilaksanakan di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 25 Mei lalu.
Operasi itu melibatkan pemeriksaan terhadap 71,734 individu termasuk warga tempatan.
“Hasil pemeriksaan itu, seramai 17,313 pendatang tanpa izin ditahan atas pelbagai kesalahan terutama tinggal lebih masa dan penyalahgunaan pas.
“Selain itu, seramai 789 majikan turut ditahan kerana menggaji atau melindungi warga asing tanpa permit sah,” katanya.
Menurut Zakaria, lima negara yang mencatat jumlah tangkapan tertinggi ialah Indonesia dengan 5,578 individu, diikuti Bangladesh (3,533), Myanmar (2,856), Filipina (1,990) dan Pakistan (811).
Beliau berkata Program Jelajah Wira MADANI yang diadakan hari ini turut menjadi penghargaan kepada warga jabatan yang menunjukkan komitmen tinggi sebagai antara agensi barisan hadapan negara.
BACA JUGA “Bukan nak satukan Melayu?” – Marzuki dedah akal Hamzah kuasai Bersatu, PN