AMK akui krisis, tapi yakin parti masih kuat untuk bangkit

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia mengakui PKR kini berada dalam keadaan yang “cedera dan parah”, namun menegaskan parti itu masih mempunyai kekuatan untuk bangkit semula menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Malah, sayap pemuda parti itu melihat keadaan semasa bukan sebagai tanda berakhirnya perjuangan Reformasi, sebaliknya satu amaran bahawa usaha pemulihan perlu digerakkan segera bagi mengelakkan parti kehilangan momentum politik.

Timbalan Pengarah Komunikasi AMK Malaysia, Adib Burhan berkata pandangan yang disuarakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengenai keadaan PKR ketika ini menyentuh perasaan generasi muda yang membesar dengan semangat Reformasi.

“Catatan ‘Deja Vu’ Hassan Abdul Karim menyentuh sanubari kami generasi yang membesar dengan Reformasi.

“Kami bersetuju dan akui bahawa PKR kini cedera dan parah.

“Namun, ini bukanlah titik noktah, sebaliknya isyarat jelas bahawa jasad parti masih bernyawa dan menuntut rawatan segera agar tidak lumpuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Adib, keadaan yang dihadapi parti ketika ini perlu dijadikan titik tolak untuk memperkukuh semula organisasi dan mengembalikan keyakinan anggota di semua peringkat.

Beliau berkata AMK bersedia menyahut seruan golongan Reformis veteran dengan menggerakkan semula tenaga profesional muda bagi membantu usaha pemulihan parti.

Katanya, gerakan itu akan melibatkan peguam, teknokrat, aktivis dan golongan intelektual muda yang akan digerakkan secara lebih agresif di media sosial dan lapangan.

“Kami akan mula menggerakkan jentera profesional muda secara agresif merangkumi peguam, teknokrat, aktivis dan ilmuwan di media sosial untuk menongkah arus naratif, serta di lapangan untuk menterjemahkan khidmat bakti kepada akar umbi,” katanya.

Pada masa sama, Adib menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan AMK di bawah Muhammad Kamil Abdul Munim mampu memimpin usaha menghidupkan semula semangat perjuangan dalam kalangan anggota parti.

Menurutnya, fokus utama ketika ini adalah memulihkan imej PKR dan mengembalikan peranannya sebagai suara rakyat menjelang PRU16.

“Fokus kami adalah memulihkan roh dan imej parti menjelang PRU16, membugarkan semangat anggota agar parti kembali menjadi jurucakap suara rakyat,” katanya.

Beliau turut menegaskan sokongan AMK terhadap kepimpinan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, yang dianggap penting bagi memastikan kesinambungan perjuangan parti.

“Bak kata Pak Hassan, ‘berpantang ajal sebelum mati’, biar apa pun badai, anak muda PKR berikrar mempertahankan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim demi masa depan tanah air,” katanya.

Semalam, Hassan meluahkan kebimbangan terhadap perkembangan mutakhir dalam PKR susulan tindakan beberapa ahli dan pemimpin meninggalkan parti untuk menyertai parti baharu, Bersama.

Beliau menyifatkan situasi tersebut sebagai membimbangkan dan berpotensi menjejaskan kekuatan PKR menjelang pilihan raya umum akan datang.

Dalam kenyataannya, Hassan mengibaratkan PKR ketika ini berada dalam keadaan “cedera, luka dan parah” serta memerlukan rawatan segera bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.

BACA JUGA Anwar : Baucar buku diteruskan, tiada istilah tamat di era MADANI