JPN nasihat rakyat jangan berebut tukar MyKad baharu
Orang ramai tidak perlu tergesa-gesa menukar kad pengenalan masing-masing apabila MyKad Struktur Baharu diperkenalkan kelak kerana MyKad sedia ada masih sah digunakan untuk semua urusan rasmi kerajaan.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memaklumkan pengeluaran dan penggantian MyKad Struktur Baharu akan bermula selepas ia dilancarkan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, pada tarikh yang akan diumumkan kemudian.
Menurut JPN, kad pengenalan sedia ada masih boleh digunakan seperti biasa termasuk untuk urusan penebusan subsidi dan bantuan kerajaan.
“Orang ramai tidak perlu tergesa-gesa menukar MyKad kerana MyKad sedia ada masih sah digunakan untuk semua urusan rasmi, termasuk penebusan subsidi dan bantuan Kerajaan,” menurut kenyataan jabatan itu.
Sebagai permulaan, pelaksanaan MyKad Struktur Baharu akan dibuat secara berfasa di Ibu Pejabat JPN Putrajaya dan 18 pejabat JPN terpilih menerusi sistem janji temu.
Langkah itu diambil bagi memastikan proses penggantian berjalan lancar, tersusun dan mengelakkan kesesakan di kaunter.
JPN berkata keutamaan akan diberikan kepada pemohon yang membuat janji temu serta pemegang Kad Pengenalan Plastik (KPP), Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT) dan MyKad Versi 1 yang tidak mempunyai ciri keselamatan ghost-image.
Golongan tersebut diwajibkan menukar kepada MyKad Struktur Baharu secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun selepas pelaksanaannya bermula.
Menurut JPN, maklumat lanjut termasuk soalan lazim (FAQ) mengenai pelaksanaan MyKad Struktur Baharu akan disediakan menerusi portal rasmi jabatan itu dalam masa terdekat.
Jabatan itu turut memberi jaminan bahawa keselamatan data dan maklumat peribadi rakyat akan terus dilindungi melalui ciri keselamatan baharu serta mekanisme perlindungan data yang ditetapkan kerajaan.
“JPN komited memastikan pelaksanaan MyKad Struktur Baharu berjalan lancar, teratur dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia selaras dengan usaha memperkukuh sistem identiti nasional negara,” menurut kenyataan itu.
Pelaksanaan MyKad Struktur Baharu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memodenkan sistem identiti negara serta memperkukuh ciri keselamatan dokumen pengenalan diri rakyat Malaysia.
BACA JUGA Oman mengalah selepas diugut Trump?