Kerajaan tunai janji MA63, Geran Khas Interim Sabah naik lebih dua kali ganda kepada RM1.5 bilion
Kerajaan hari ini mengumumkan pemberian khas interim kepada Sabah yang dinaikkan daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion.
Ia sebagai komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menunaikan hak negeri itu selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan lebih dua kali ganda tersebut mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI untuk melaksanakan pemberian khas kepada Sabah berasaskan 40 peratus hasil seperti yang diperuntukkan di bawah MA63.
Menurut beliau, pemberian khas interim yang ditingkatkan itu hanya bersifat interim, sementara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri Sabah memuktamadkan kadar baharu pemberian khas berdasarkan formula 40 peratus hasil negeri berkenaan.
“Peningkatan lebih dua kali ganda ini merupakan komitmen nyata Kerajaan MADANI untuk menunaikan Pemberian Khas Sabah berasaskan 40 peratus hasil seperti yang diperuntukkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963
“Saya tegaskan sekali lagi komitmen Kerajaan MADANI untuk melaksanakan hak Sabah selaras dengan semangat dan peruntukan MA63,” katanya di Facebook selepas mengumumkan perkara itu di Penampang, Sabah, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan MADANI kekal komited untuk melaksanakan hak Sabah selaras dengan semangat dan peruntukan MA63, selain memastikan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri terus diperkukuh.
Katanya, pendekatan tersebut berasaskan semangat kerjasama, saling menghormati dan keadilan demi memacu pembangunan Sabah serta meningkatkan kesejahteraan rakyat negeri itu.
Pengumuman berkenaan dilihat sebagai antara langkah penting Kerajaan MADANI dalam menunaikan komitmen berkaitan MA63 serta memperkukuh hubungan Persekutuan dan negeri-negeri di Malaysia Timur