Program Qurban Kasih 2026 satukan komuniti Sepang, 50 ekor lembu dan 3 ekor kambing dikorbankan

FOTO BERITA: Program Qurban Kasih 2026 bersama masyarakat setempat dan turut hadir YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu (Timbalan Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan Merangkap Ahli Parlimen Sepang) dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) YAS Dato’ Sri Ts. Nor Hisham Mohammad dan YDP Sepang, Dr Ani Ahmad di Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya. 30hb Mei 2026 (Sabtu)

Semangat gotong-royong dan kebersamaan masyarakat terus terserlah menerusi Program Qurban Kasih 2026 yang dianjurkan hasil kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Parlimen Sepang serta pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, hari ini.

Program tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Sepang, Aiman Athirah Sabu serta Ketua Pengarah JBPM, Nor Hisham Mohammad YDP Sepang, Dr Ani Ahmad dan komuniti setempat.

Dalam program yang berlangsung pada hari terakhir Tasyrik, sebanyak 50 ekor lembu dan tiga ekor kambing telah dikorbankan dengan penglibatan kira-kira 500 petugas yang terdiri daripada anggota JBPM, penduduk kampung, ketua kampung, ahli majlis serta sukarelawan.

Aiman Athirah berkata, program berkenaan berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk wakil daripada 38 kampung tradisi di sekitar Sepang, selain mendapat kerjasama erat daripada agensi-agensi di bawah KPKT.

“Alhamdulillah, program ini menghimpunkan pelbagai pihak termasuk JBPM, KPKT, Majlis Perbandaran Sepang, Pejabat Daerah Sepang, ketua-ketua kampung dan NGO dalam menjayakan ibadah korban serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam komuniti,” katanya.

Menurut beliau, daging korban yang disediakan akan diagihkan kepada kira-kira 2,500 penerima melibatkan penduduk sekitar Sepang dan golongan yang memerlukan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JBPM, agensi-agensi di bawah KPKT serta semua pihak yang berganding bahu menjayakan Program Qurban Kasih 2026.

Selain ibadah korban, program itu turut dimeriahkan dengan Kenduri Rakyat yang menyediakan juadah hasil korban bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat, petugas dan para tetamu yang hadir.

Program Qurban Kasih 2026 dilihat bukan sahaja menjadi wadah pelaksanaan ibadah korban, malah mengukuhkan perpaduan masyarakat melalui semangat kerjasama, kesukarelawanan dan nilai kebersamaan yang menjadi teras kesejahteraan komuniti.