Kenapa Malaysia jadi contoh? Pengakuan jujur Prabowo mengejutkan banyak pihak

Oleh NAZZ ZAIN

Ketika Indonesia di bawah pemerintahan Presiden Jokowi, Malaysia melihat Indonesia mempunyai potensi untuk memecut laju dan menjadi kuasa ekonomi dunia.

Sampaikan ada satu ketika, rakyat Malaysia bimbang suatu hari nanti rakyat Malaysia pula akan berpusu-pusu berkerja di Indonesia.

Namun, hari ini, nampaknya Indonesia semakin lesu.

Dahulu, 1 juta Rupiah bersamaan dengan RM320. Kini dengan hanya RM222, kita boleh dapat 1 juta Rupiah!

Macam pembantu rumah Abe naik gaji 44% dalam masa 2 tahun!

Kenapa teruk sangat ekonomi Indonesia sekarang walaupun pemerintah di sana masih tidak mahu mengaku dengan menyatakan semuanya baik-baik.

Namun, minggu lepas, akhirnya Presiden Prabowo terpaksa mengaku,

Indonesia perlu berubah banyak jika mahu menjadi seperti Malaysia.

Jom kita baca mengenai perbincangan ini.

Menarik apa yang diluahkan oleh Presiden Indonesia, Prabowo Subianto baru-baru ini.

Bila seorang pemimpin negara sebesar Indonesia, dengan populasi hampir 280 juta orang, membuat perbandingan “pound per pound” dengan Malaysia.

Ia sebenarnya satu pengiktirafan besar terhadap struktur ekonomi kita, sekaligus menjadi ‘wake-up call’ buat landskap ekonomi serantau.

Kenapa negara yang saiznya 9 kali ganda lebih kecil seperti Malaysia dijadikan penanda aras?

Mari kita bedah isu ini secara objektif daripada sudut makroekonomi dan strategi pembangunan.

Kuantiti vs Kualiti

Bila kita bercakap tentang ekonomi, ramai yang terperangkap dengan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK / GDP) yang besar.

Secara keseluruhan, GDP Indonesia memang jauh lebih besar daripada Malaysia kerana faktor saiz populasi dan pasaran domestik mereka yang masif.

Namun, apa yang dimaksudkan oleh Prabowo tentang pound per pound, adalah GDP per Kapita (Pendapatan Purata Penduduk) dan produktiviti struktur ekonomi.

Ekonomi Berpendapatan Tinggi:

Malaysia ketika ini mempunyai GDP per kapita sekitar $12,000 hingga $13,000 USD, manakala Indonesia berada di sekitar $5,000 USD.

Kecekapan Sistemik:

Dari sudut output bagi setiap pekerja, Malaysia mempunyai rantaian nilai yang lebih tinggi (high-value chain).

Ia terutamanya dalam sektor pembuatan seperti Elektrikal & Elektronik (E&E) dan sektor perkhidmatan moden.

Sebab itu dari segi impak poket rakyat, kecekapan ekonomi Malaysia dilihat lebih mampan untuk melahirkan masyarakat kelas pertengahan yang stabil.

Kenapa Malaysia jadi penanda aras walaupun 9 kali lebih kecil?

Prabowo menggunakan Malaysia sebagai perbandingan bukan untuk mengecilkan negaranya sendiri,

tetapi untuk menekankan konsep Kematangan Struktur Ekonomi.

Ada tiga sebab utama.

1) Peralihan sektor yang berjaya:

Malaysia berjaya beralih daripada ekonomi berasaskan komoditi dan pertanian (getah dan bijih timah suatu masa dahulu) kepada ekonomi industri sekunder dan tertier.

Indonesia pula, walaupun kaya dengan sumber asli seperti nikel, arang batu, dan kelapa sawit, masih bergelut dalam fasa ‘hilirisasi’ (downstreaming) untuk memastikan hasil bumi itu diproses menjadi produk bernilai tinggi di dalam negara sebelum dieksport.

2) Kecairan kelas pertengahan (middle class):

Untuk sesebuah negara maju, middle class adalah enjin utama ekonomi.

Di Malaysia, struktur pekerjaan formal adalah lebih dominan.

Di Indonesia, sektor tidak formal (informal sector) masih terlalu besar, menyebabkan jaringan keselamatan sosial dan kestabilan pendapatan sukar dicapai oleh sebahagian besar rakyatnya.

3) Daya Tarikan Pelaburan Asing (FDI):

Malaysia mempunyai ekosistem perniagaan, undang-undang, dan infrastruktur

yang membuatkan nilai pelaburan per kapita kita sangat tinggi.

Ini yang mahu dicontohi oleh pentadbiran Prabowo.

Isu Kelas Pertengahan yang Menyusut & Pertumbuhan Ilusi

Kekecewaan yang dizahirkan oleh Prabowo sebenarnya adalah satu fenomena global yang dipanggil

“Economic Growth Without Development” (Pertumbuhan Tanpa Pembangunan Seimbang).

Apabila GDP meningkat tetapi golongan miskin bertambah dan kelas pertengahan menyusut,

itu petanda wujudnya jurang agihan kekayaan (wealth inequality) yang melebar.

Pertumbuhan ekonomi mungkin hanya dipacu oleh sektor-sektor yang berintensifkan modal (capital-intensive)
seperti perlombongan atau spekulasi pasaran,

yang tidak membuka peluang pekerjaan berkualiti tinggi untuk rakyat terbanyak.

Apabila peluang kerja kolar putih atau industri bernilai tinggi kurang,

golongan kelas pertengahan akan mula ‘gelongsor’ ke bawah menjadi golongan rentan (vulnerable),

manakala golongan miskin tegar pula sukar untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Pengajaran Buat Kita di Malaysia

Sebagai rakyat Malaysia, kita tidak boleh mendongak mendabik dada dengan perbandingan ini.

Kenyataan Prabowo ini sepatutnya menjadi peringatan juga buat kita.

Indonesia sedang memecut laju dengan reformasi struktur, pembinaan infrastruktur masif, dan dasar hilirisasi yang agresif.

Jika kita di Malaysia leka, terjebak dengan politik tidak matang, dan gagal melonjakkan rantaian nilai ekonomi kita ke arah teknologi tinggi dan kecerdasan buatan (AI), tidak mustahil kedudukan pound per pound yang kita banggakan ini akan dipotong oleh gergasi ASEAN tersebut dalam masa sedekad dua akan datang.

Ingatlah, saiz bukanlah penentu kemenangan; strategi, pelaksanaan, dan ketekunan yang membezakan pemenang dengan yang tewas.

BACA JUGA Malaysia terus unggul, raih pengiktirafan tertinggi Anugerah Labbaittom kali kelima