SEKPUR buat laporan polis, gesa siasatan dakwaan konspirasi serangan Institusi Diraja dan fitnah kerajaan

FOTO BERITA: ​Laporan Polis & Sidang Media oleh Tuan Shahbudin Embun Pengerusi biro Politik SEKPUR bagi menyiasat dakwaan konspirasi serangan Institusi Diraja dan memburukkan imej kerajaan di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. 31hb Mei 2026 (Ahad)

Pengerusi Biro Politik Sekretariat Kestabilan dan Perpaduan Rakyat (SEKPUR), Tuan Shahbudin Embun bersama beberapa wakil pertubuhan dan aktivis media sosial hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berhubung dua kandungan TikTok yang didakwa mengandungi fitnah, unsur hasutan serta tuduhan serius terhadap institusi diraja dan kerajaan.

Dalam sidang media selepas membuat laporan polis, wakil SEKPUR, Rozan berkata tindakan itu diambil susulan penularan dua kandungan TikTok yang telah menerima ratusan ribu tontonan serta dikongsi secara meluas oleh pengguna media sosial.

Menurut beliau, salah satu kandungan tersebut melibatkan individu dikenali sebagai Syafiq Inspirasi yang didakwa sering menghasilkan kandungan berunsur negatif dan mengelirukan sehingga boleh menjejaskan kestabilan politik negara.

Beliau turut membangkitkan satu siaran langsung TikTok yang melibatkan Raja Azman Raja Putra yang didakwa mengemukakan tuduhan bahawa pegawai kanan di Pejabat Perdana Menteri (PMO) terlibat dalam satu konspirasi bagi membiayai serangan terhadap institusi diraja, termasuk melibatkan Sultan Selangor dan Sultan Pahang.

Rozan menegaskan dakwaan tersebut amat serius kerana secara langsung mengaitkan individu tertentu dalam kerajaan tanpa sebarang bukti yang jelas serta berpotensi menimbulkan persepsi negatif terhadap pentadbiran Kerajaan MADANI.

“Dakwaan seperti ini bukan sahaja mencemarkan nama baik individu yang disebut, malah boleh mengganggu kestabilan politik negara serta menjejaskan keharmonian yang selama ini dipelihara antara rakyat, kerajaan dan institusi diraja,” katanya.

Beliau berkata penyebaran kandungan sedemikian juga boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat, khususnya golongan muda yang aktif menggunakan media sosial sebagai sumber maklumat utama.

Sehubungan itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta agensi berkaitan menjalankan siasatan segera terhadap kandungan yang tular tersebut.

Pada masa sama, beliau turut memohon Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, mempertimbangkan tindakan sewajarnya termasuk menurunkan kandungan berkenaan daripada platform TikTok sekiranya didapati melanggar undang-undang.

“Media sosial tidak boleh dijadikan platform untuk menyebarkan fitnah, mencetuskan kebencian atau meracuni pemikiran rakyat dengan dakwaan yang tidak dapat disahkan,” katanya.

SEKPUR berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan platform digital bagi menyebarkan maklumat palsu atau kandungan yang boleh mengancam ketenteraman awam serta institusi negara.