Tiada harapan lagi kerjasama harmoni, Pas bayang putus dengan Bersatu
Pas memberi bayangan bahawa kerjasama politiknya dengan Bersatu mungkin sudah tidak lagi dapat diteruskan secara harmoni apabila mendakwa parti itu gagal mengakui kelemahan sendiri, termasuk dari segi kekuatan jentera pilihan raya.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kenyataan seorang pemimpin Bersatu yang menyifatkan pihak yang mendakwa parti itu tidak mempunyai jentera sebagai ‘pekak’ menunjukkan hubungan antara kedua-dua parti semakin sukar dipulihkan.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, bukan menjadi kesalahan bagi sesebuah parti baharu untuk mempunyai kekurangan dari segi jentera, namun masalah timbul apabila kelemahan tersebut dinafikan.
“Apabila penafian terhadap hakikat itu berlaku, tindakan yang akan lahir nanti berasaskan keyakinan diri sentiasa kuat, walhal hakikat yang jelas terpampang ialah sebaliknya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pagi ini.
Konflik dalaman
Ahmad Fadhli turut menegaskan bahawa Bersatu gagal memanfaatkan tempoh selepas pilihan raya untuk memperkukuhkan organisasi parti, sebaliknya lebih banyak berdepan konflik dalaman.
Beliau berkata, keadaan itu hanya menyebabkan penyokong tertentu dipersiapkan untuk menjadi calon sebelum bergantung kepada kekuatan parti-parti lain dalam gabungan politik.
Tegasnya, keadaan tersebut menyebabkan Bersatu sering bertanding lebih banyak kerusi berbanding rakan dalam gabungan, namun gagal mencatatkan kemenangan yang lebih besar.
“Ia terhasil daripada kajian serta bacaan yang tidak tepat,” katanya.
Dalam masa sama, Ahmad Fadhli turut membangkitkan tindakan Bersatu dalam beberapa isu politik mutakhir, termasuk di Perlis dan Negeri Sembilan yang menimbulkan persoalan mengenai hala tuju parti itu selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Wakil rakyat Pas itu berkata, perkembangan tersebut menimbulkan kebimbangan sama ada Bersatu akan mempertimbangkan untuk bertindak secara bersendirian dalam usaha membentuk kerajaan Persekutuan pada masa depan.
Sehubungan itu, Ahmad Fadhli secara peribadi mencadangkan agar Pas dan Bersatu bergerak secara berasingan dalam pilihan raya akan datang.
“Justeru, secara peribadi saya cadangkan jalan yang terbaik ialah bergerak secara berasingan. Kita kekal berkawan, cuma bukan di pentas pilihan raya.
“Anda boleh mencari kawan politik yang lebih jelas pendengaran, lebih terang penglihatan dan lebih kuat deria bau. Selamat maju jaya,” katanya.