KPDN Selangor perhebat OPS KESAN 6.0, kekang pencatutan barangan keperluan pengguna

FOTO BERITA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor memulakan penguatkuasaan OPS KESAN 6.0 hari ini dengan memberi tumpuan kepada pemantauan harga dan bekalan barangan keperluan pengguna bagi membendung aktiviti pencatutan susulan tekanan ekonomi global. (Gambar: UKK KPDN Selangor)

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’arip, berkata operasi yang berlangsung dari 1 Jun hingga 31 Ogos 2026 itu dilaksanakan selaras dengan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) serta arahan Bahagian Penguat Kuasa KPDN. Menurut beliau, pelaksanaan OPS KESAN 6.0 didorong oleh krisis bekalan global dan peningkatan harga minyak mentah dunia yang memberi kesan kepada rantaian bekalan, kos penghantaran serta harga barangan asas di negara ini.

“Seluruh pejabat KPDN Selangor meliputi Shah Alam, Petaling Jaya, Gombak, Kajang, Sepang, Kuala Selangor dan Kuala Kubu Bharu telah digerakkan secara terancang bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada hari pertama operasi, pemeriksaan tertumpu di peringkat peruncit seperti pasar raya dan kedai runcit membabitkan barangan pertanian termasuk sawi, kailan, timun, tomato dan cili merah, selain ayam standard, telur ayam serta produk pembungkusan plastik. Pemantauan dijalankan di beberapa kawasan antaranya Shah Alam, Puchong, Petaling Jaya, Sepang, Kajang, Gombak, Kuala Selangor dan Kuala Kubu Bharu yang meliputi daerah Kuala Langat dan Hulu Langat.

Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 46 Stock Keeping Unit (SKU) atau jenis barangan keperluan harian telah diperiksa oleh pasukan penguat kuasa KPDN Selangor. Daripada jumlah itu, sebanyak sembilan Notis di bawah Seksyen 21 Akta 723 telah dikeluarkan kepada peniaga bagi mendapatkan maklumat terperinci berkaitan harga dan kos barangan yang terlibat.

Menurut Muhamad Hanif, pengeluaran notis tersebut merupakan langkah intervensi dan amaran awal kepada peniaga supaya sentiasa mematuhi peraturan serta tidak mengambil kesempatan terhadap situasi semasa untuk meraih keuntungan berlebihan. Beliau berkata, pemeriksaan akan diperluaskan ke seluruh rantaian perniagaan termasuk pengeluar, pengilang, penternak, peladang, pengedar dan pemborong sepanjang tempoh operasi berkenaan.

“KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan pencatutan. Individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun bagi kesalahan pertama, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000,” tegasnya.

Tambah beliau, KPDN Selangor turut bersedia memberi khidmat nasihat kepada peniaga mengenai mekanisme penentuan keuntungan dan prinsip asas antipencatutan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang yang berkuat kuasa.

OPS KESAN 6.0 merupakan sebahagian daripada inisiatif KITA GEMPUR yang dilaksanakan kerajaan bagi menangani sebarang bentuk manipulasi dalam aktiviti perniagaan serta melindungi kepentingan pengguna di seluruh negara.