Kuota BUDI95 turun ke 150 liter? Rupanya sistem bermasalah, kerajaan sahkan kekal 200 liter

 Kekeliruan yang timbul dalam kalangan penerima bantuan subsidi petrol bersasar BUDI95 susulan paparan had bulanan 150 liter dalam sistem semalam disahkan berpunca daripada ralat teknikal dan bukannya perubahan dasar kerajaan.

Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan bahawa insiden tersebut berlaku ketika kerja-kerja penyelenggaraan sistem BUDI95 dijalankan pada jam 11 malam, 31 Mei lalu.

Menurut kementerian itu, sebahagian pengguna mungkin melihat paparan had bulanan mereka berubah kepada 150 liter, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi di media sosial mengenai kemungkinan pengurangan kuota subsidi.

Bagaimanapun, MOF menegaskan bahawa paparan tersebut hanyalah kesilapan teknikal yang telah dikenal pasti dan diperbetulkan dalam tempoh singkat.

“Paparan tersebut adalah disebabkan oleh ralat teknikal sistem yang telah dikenal pasti dan diperbetulkan.

“Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa kuota bulanan BUDI95 kekal sebanyak 200 liter sebulan bagi pengguna yang layak, termasuk untuk bulan Jun 2026,” menurut kenyataan kementerian hari ini.

Penjelasan itu dibuat selepas beberapa pengguna memuat naik tangkap layar yang menunjukkan had penggunaan bulanan mereka dipaparkan pada kadar lebih rendah daripada kuota asal yang diumumkan kerajaan.

Keadaan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam talian dengan ada pihak mendakwa kerajaan telah mengurangkan kuota subsidi secara senyap tanpa pengumuman rasmi.

Sehubungan itu, kementerian menegaskan bahawa tiada sebarang perubahan dibuat terhadap syarat atau had penggunaan program BUDI95.

“Justeru, ingin ditegaskan bahawa tiada sebarang perubahan telah dibuat terhadap had bulanan BUDI95,” kata kenyataan itu lagi.

BUDI95 merupakan antara inisiatif subsidi bersasar kerajaan bagi membantu golongan yang layak menghadapi kos bahan api, selaras dengan usaha kerajaan memastikan perbelanjaan subsidi lebih cekap dan sampai kepada kumpulan sasar.

MOF turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memastikan sistem berkenaan beroperasi dengan lancar bagi mengelakkan kekeliruan yang boleh menjejaskan keyakinan pengguna.

“Kementerian Kewangan akan terus memastikan pelaksanaan BUDI95 berjalan lancar, telus dan teratur demi melindungi kepentingan rakyat serta memastikan bantuan subsidi bersasar sampai kepada golongan yang layak.

“Segala kekeliruan berkenaan ralat ini amat dikesali,” menurut kenyataan itu.

Dengan penjelasan tersebut, penerima BUDI95 boleh menarik nafas lega apabila kuota subsidi bulanan mereka kekal pada kadar 200 liter seperti yang diumumkan sebelum ini.

BACA JUGA 68 tahun TUDM mengawal langit negara: Dari ancaman komunis hingga kini