Media sosial kini ada had umur, ini yang perlu anda tahu?
Malaysia hari ini melangkah lebih jauh dalam usaha melindungi kanak-kanak di alam digital apabila mula menguatkuasakan syarat pengesahan umur bagi pendaftaran dan penggunaan akaun media sosial.
Di bawah peraturan baharu itu, individu berusia bawah 16 tahun tidak lagi dibenarkan membuka akaun media sosial, manakala pengguna yang ingin mendaftar perlu mengemukakan dokumen pengenalan rasmi bagi mengesahkan umur mereka.
Langkah tersebut dilaksanakan selaras dengan penguatkuasaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) 2025 yang mula berkuat kuasa hari ini melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menerusi pelaksanaan baharu itu, platform media sosial diwajibkan memastikan pengguna yang mendaftar memenuhi syarat umur minimum yang ditetapkan sebelum akaun dibenarkan beroperasi.
Bagi tujuan pengesahan, pengguna perlu mengemukakan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport atau MyDigital ID.
Keperluan tersebut bukan sahaja terpakai kepada pengguna baharu, malah pemilik akaun sedia ada juga perlu menjalani proses pengesahan identiti bagi memastikan mereka memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.
Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan menangani peningkatan ancaman siber terhadap kanak-kanak dan remaja termasuk buli siber, eksploitasi dalam talian, penipuan digital serta pendedahan kepada kandungan berbahaya.
Melalui Kod Perlindungan Kanak-Kanak dan Kod Pengurangan Risiko, penyedia platform digital juga perlu mengambil langkah lebih proaktif dalam mengenal pasti serta mengurangkan risiko yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna muda.
Penguatkuasaan baharu itu meletakkan Malaysia antara negara yang mula memperkenalkan mekanisme pengesahan umur lebih ketat dalam penggunaan media sosial, sejajar dengan trend yang sedang dilaksanakan di beberapa negara lain bagi meningkatkan keselamatan kanak-kanak di ruang digital.
BACA JUGA Umum tanding 28 dun Melaka, Muhyiddin berlagak ‘Nakhoda’ PNÂ