RM53 juta masa Warisan, RM1.5 bilion era Anwar: Jadi siapa berjaya tuntut hak Sabah?
Pertikaian mengenai hak kewangan Sabah kembali hangat selepas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meningkatkan Pemberian Khas Sabah kepada RM1.5 bilion menerima kritikan daripada pemimpin Parti Warisan.
Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi PKR Sabah, Guntur Sangkar menyifatkan kritikan tersebut sebagai tidak berasas dan bercanggah dengan rekod pentadbiran Warisan sendiri ketika menerajui kerajaan negeri antara 2018 hingga 2020.
Menurut beliau, peningkatan bayaran interim yang diumumkan Kerajaan MADANI membuktikan kesungguhan kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Anwar dalam memperjuangkan hak Sabah, sesuatu yang gagal dicapai oleh pentadbiran terdahulu walaupun mempunyai hubungan langsung dengan kerajaan Persekutuan ketika itu.
“Selama hampir lima dekad, Sabah hanya menerima sekitar RM26.7 juta setahun walaupun isu tuntutan 40 peratus hasil negeri sering dijadikan modal politik oleh pelbagai pihak.
“Ketika Warisan memerintah Sabah, kadar itu hanya meningkat kepada sekitar RM53.4 juta pada tahun 2019,” katanya dalam satu kenyataan.
Guntur berkata, peningkatan tersebut jauh lebih rendah berbanding lonjakan yang dicapai di bawah Kerajaan MADANI dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Malah, katanya, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sendiri pernah mempertahankan keputusan menerima RM53.4 juta dengan alasan kerajaan Persekutuan ketika itu berdepan kekangan kewangan dan hasil negara yang terhad.
“Walaupun mereka mempunyai hubungan langsung dengan Kerajaan Persekutuan di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu, peningkatan yang dicapai masih amat kecil berbanding apa yang dilaksanakan hari ini,” katanya.
Beliau mempersoalkan mengapa Warisan kini memilih untuk memperlekehkan usaha kerajaan Persekutuan sedangkan alasan yang sama pernah digunakan mereka ketika berada dalam kerajaan.
“Jika sebelum ini rakyat Sabah diminta memahami kekangan kewangan kerajaan Persekutuan, mengapa hari ini Warisan enggan berlaku adil terhadap usaha dan komitmen Kerajaan MADANI yang berjaya meningkatkan bayaran interim tersebut sehingga RM1.5 bilion?” soalnya.
Menurut Guntur, kenaikan kepada RM1.5 bilion merupakan perkembangan paling signifikan dalam sejarah rundingan Pemberian Khas Sabah, walaupun beliau mengakui ia belum menjadi penyelesaian muktamad kepada tuntutan 40 peratus hasil negeri yang termaktub dalam Perlembagaan.
Beliau turut menggariskan perkembangan bayaran khas yang diterima Sabah sejak beberapa tahun lalu.
Sebelum 2019, Sabah hanya menerima sekitar RM26.7 juta setahun. Jumlah itu meningkat kepada RM53.4 juta pada 2019 ketika era pentadbiran Warisan.
Selepas Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran Persekutuan, bayaran interim meningkat kepada RM125.6 juta pada 2022 sebelum melonjak kepada RM300 juta pada 2023 dan 2024.
Jumlah itu kemudian dinaikkan kepada RM600 juta pada 2025 dan 2026 sebelum Perdana Menteri mengumumkan peningkatan lanjut sehingga RM1.5 bilion.
“Mengapa selepas Kerajaan MADANI mengambil alih, barulah kita melihat lonjakan besar sehingga mencecah RM1.5 bilion?
“Rakyat Sabah bukan buta fakta. Mereka mampu menilai siapa yang sekadar bermain retorik dan siapa yang benar-benar membawa hasil,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Warisan supaya berhenti mendakwa sebagai pejuang tunggal hak Sabah dan menilai semula rekod pencapaian mereka sendiri ketika mentadbir negeri.
“Warisan perlu berhenti bersikap seolah-olah merekalah pejuang tunggal Sabah sedangkan rekod mereka sendiri menunjukkan sebaliknya.
“Rakyat Sabah hari ini semakin matang dalam menilai. Mereka tahu membezakan antara retorik politik dan hasil sebenar,” katanya.
BACA JUGA Kenapa Malaysia sertai pakatan lindungi kabel bawah laut dunia?