“Lesen bukan tiket bunuh orang” – Anthony Loke mahu pemandu didakwa segera

Kementerian Pengangkutan menggesa tindakan pendakwaan segera dan tegas diambil terhadap pemandu yang dipercayai menjadi punca kemalangan maut membabitkan lima kenderaan di Johor semalam sehingga meragut lima nyawa, termasuk empat mangsa daripada sebuah keluarga.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata tragedi yang berlaku di Jalan Renggam–Simpang Renggam itu tidak sepatutnya berlaku dan dipercayai berpunca daripada tindakan pemanduan melulu yang membahayakan pengguna jalan raya lain.

Beliau berkata pihak berkuasa perlu menyegerakan siasatan bagi memastikan tindakan undang-undang dapat diambil terhadap individu yang bertanggungjawab.

Dalam satu kenyataan hari ini, Anthony berkata beliau telah meminta agar siasatan polis disegerakan supaya kertas siasatan dapat dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa atas kehilangan yang sangat menyedihkan ini.

“Pemanduan sebegini adalah tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.

Menurut beliau, tindakan pendakwaan yang setimpal perlu dikenakan terhadap pemandu yang menyebabkan kemalangan tersebut bagi memastikan keadilan kepada mangsa dan keluarga mereka dapat ditegakkan.

Anthony turut mengingatkan bahawa keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama dan setiap pengguna jalan raya perlu mematuhi undang-undang serta mengutamakan nyawa orang lain.

“Lesen memandu bukan satu kebenaran untuk memandu sesuka hati sehingga menyebabkan malapetaka kepada orang lain yang tidak berdosa,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa budaya pemanduan berbahaya perlu dibendung kerana ia bukan sahaja mengancam nyawa pemandu sendiri, malah boleh meragut nyawa pengguna jalan raya lain yang tidak bersalah.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang semalam, lima individu maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Renggam–Simpang Renggam berhampiran Penjara Simpang Renggam, Johor.

Empat mangsa yang maut merupakan ahli keluarga yang menaiki kenderaan sama, iaitu Mohd Aiman Mohd Rashid, 36; isterinya Nor Azlina Abd Latif, 33; ibu mentuanya Semek Mat Soh, 73; serta anak saudara mereka, Nur Airish Syifa Sidek, 10.

Tragedi itu sekali lagi mencetuskan perbahasan mengenai keperluan hukuman lebih berat terhadap pemandu yang menyebabkan kemalangan maut akibat kecuaian atau pemanduan melulu di jalan raya.

BACA JUGA Dah tahap tersimpul mati :  Pensyarah cadang Negeri Sembilan, Perlis bubar juga?