MHO rayu selamatkan dua rakyat Malaysia terperangkap di pusat scam Myanmar dan Kemboja

FOYO BERITA: Sidang Media oleh Dato’ Hishamuddin Hashim Setiausaha Agung MHO mengenai rayuan keluarga mangsa perhambaan dan pemerdagangan manusia di Myanmar dan Cambodia di Pejabat MHO, Megan Avenue, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. 2hb Jun 2026 (Selasa)

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) merayu campur tangan segera pihak berkuasa bagi membantu membawa pulang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan perhambaan moden di pusat-pusat penipuan dalam talian (scam center) di Myanmar dan Kemboja.

Dalam sidang media yang diadakan hari ini, Dato’ Hishamuddin Hashim berkata pihaknya menerima rayuan daripada dua keluarga mangsa yang kini terperangkap dalam sindiket penipuan rentas sempadan di kedua-dua negara tersebut. Beliau memperkenalkan Puan Ayu dari Johor yang sedang berusaha menyelamatkan anak lelakinya berusia 20 tahun yang dipercayai ditipu oleh seorang individu dikenali sebagai “Jepun” untuk bekerja di Rusia sebagai pekerja kontena.

Menurut beliau, mangsa berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11 April lalu dengan menyangka akan bekerja di Rusia, namun keluarga hanya mengetahui bahawa mangsa sebenarnya telah dibawa ke Poipet, Kemboja pada 25 April 2026.

“Mangsa sempat memaklumkan kepada ibunya bahawa tempat tersebut seperti neraka dan dia mahu pulang ke Malaysia. Namun komunikasi mereka sentiasa dikawal oleh sindiket dan mangsa tidak dapat menceritakan keadaan sebenar secara terperinci kerana bimbang keselamatannya terancam,” katanya.

Hishamuddin berkata mangsa dipercayai antara lapan rakyat Malaysia yang direkrut oleh seorang individu dikenali sebagai “MJ”, yang didakwa aktif merekrut pekerja dari Johor untuk bekerja di luar negara sebelum membawa mereka ke pusat scam di Kemboja.

Turut hadir ialah Miss Lee dari Petaling Jaya yang memohon bantuan membawa pulang abangnya berusia 40 tahun yang kini terkandas di sebuah pusat scam di kawasan Myawaddy, Myanmar. Menurutnya, abangnya pada asalnya bekerja di sebuah kasino di Kemboja sejak November 2023 sebelum ditawarkan pekerjaan di Bangkok pada penghujung 2024. Namun selepas tiba di Thailand, mangsa dipercayai dibawa masuk secara haram ke Myawaddy dan sehingga kini masih gagal pulang ke tanah air.

“Sejak berada di sana, mangsa beberapa kali diminta membayar wang tebusan bermula RM50,000 sehingga RM100,000 untuk dibebaskan. Bagaimanapun MHO menasihatkan keluarga agar tidak membuat sebarang pembayaran kerana tiada jaminan mangsa akan dibebaskan,” jelasnya.

Beliau berkata MHO sedang bekerjasama dengan rangkaian penyelamat serta pihak berkuasa Thailand bagi mencari jalan terbaik untuk membawa pulang mangsa tanpa melibatkan pembayaran kepada sindiket.

Pada sidang media sama, seorang bekas mangsa sindiket scam antarabangsa yang dikenali sebagai Rex turut berkongsi pengalaman pahitnya selepas terjerat dengan tawaran pekerjaan luar negara. Rex berkata beliau pada mulanya bekerja di Dubai sebelum dipujuk untuk berpindah ke Laos melalui Bangkok dan akhirnya dipaksa bekerja di pusat scam yang mensasarkan mangsa dari negara-negara Eropah.

Menurutnya, pekerja di pusat scam berdepan pelbagai bentuk eksploitasi termasuk tidak dibayar gaji, hidup dalam keadaan serba kekurangan dan sentiasa dikawal oleh sindiket. Beliau mengakui keputusan menerima tawaran tersebut telah memusnahkan kehidupannya apabila kehilangan pekerjaan, rumah tangga, kenderaan serta harta benda sehingga kini terpaksa memulakan hidup dari sifar.

“Saya datang hari ini untuk memberi amaran kepada rakyat Malaysia supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan lumayan di luar negara kerana realitinya sangat berbeza daripada apa yang dijanjikan,” katanya. Dalam pada itu, Rex turut mendedahkan bahawa sindiket scam antarabangsa kini dipercayai sedang mengalihkan operasi mereka ke beberapa negara lain termasuk Malaysia susulan tekanan dan operasi penguatkuasaan yang semakin giat dijalankan di kawasan sempadan Myanmar, Thailand dan Laos.

Sehubungan itu, MHO menyeru pihak berkuasa memperkukuh pemantauan terhadap aktiviti pengambilan pekerja yang mencurigakan serta meningkatkan kerjasama antarabangsa bagi membanteras sindiket pemerdagangan manusia yang semakin agresif memperdaya rakyat Malaysia dengan tawaran pekerjaan palsu di luar negara.