Puad keliru GLC dengan Badan Berkanun? – Sheikh Omar
Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Omar Ali tampil mempertahankan kenyataan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching susulan kritikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi berhubung cadangan pelantikan Marina Ibrahim ke sebuah institusi awam.
Menurut Sheikh Omar, kritikan tersebut timbul kerana kegagalan membezakan antara badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Sefaham saya apa yang dijelaskan oleh Teo Nie Ching merupakan badan berkanun, bukan GLC,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Beliau menjelaskan badan berkanun ditubuhkan melalui Akta Parlimen atau Enakmen Negeri bagi melaksanakan dasar awam dan mencapai objektif sosioekonomi tertentu.
Sebaliknya, katanya, GLC merupakan syarikat yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 2016 dengan kerajaan bertindak sebagai pemegang saham utama.
Sheikh Omar berkata cadangan Teo terhadap Marina bukan sekadar soal politik, sebaliknya berkaitan potensi individu tersebut untuk membantu kerajaan melaksanakan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Menurut beliau, sebarang pelantikan ke institusi awam sewajarnya dinilai berdasarkan rekod prestasi, kemampuan dan sumbangan yang boleh diberikan kepada rakyat.
“Cadangan kepada Marina akan membuka kemungkinan ruang untuk beliau memainkan peranan membantu kerajaan melaksanakan dasar-dasar untuk kepentingan awam.
“Cadangan ini tentunya harus mengambil kira trek rekod dan kemampuan yang dipamerkan,” katanya.
Dalam masa sama, Sheikh Omar turut memberikan contoh beberapa tokoh politik yang berjaya menerajui institusi awam walaupun datang daripada latar belakang parti politik.
Beliau merujuk kepada Asyraf Wajdi Dusuki yang menurutnya telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam memimpin Majlis Amanah Rakyat.
“Beliau rajin sehingga terkenal dengan jolokan ‘Daddy MARA’.
“Beliau terserlah dengan pelbagai inisiatif memperkukuh pendidikan serta pembangunan usahawan Bumiputera,” katanya.
Kenyataan Sheikh Omar itu dilihat sebagai jawapan langsung kepada kritikan Puad yang sebelum ini mempertikaikan cadangan Teo melibatkan Marina, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai peranan tokoh politik dalam memimpin institusi awam dan badan berkanun negara.
BACA JUGA Dah tahap tersimpul mati : Pensyarah cadang Negeri Sembilan, Perlis bubar juga?