Bimbang Bersatu jejas PN, ulama Pas serah pada Pusat bertindak

Majlis Syura ‘Ulamak (MSU) Pas memutuskan untuk menyerahkan mandat sepenuhnya kepada Jawatankuasa Kerja parti itu bagi mengambil tindakan sewajarnya susulan krisis dan konflik dalaman Bersatu.

MSU menyifatkan masalah dalaman Bersatu telah memberi kesan kepada kekuatan, kestabilan, serta keyakinan rakyat terhadap hala tuju Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob, berkata keputusan itu dicapai selepas pihaknya meneliti laporan terperinci pimpinan Pas Pusat serta mengambil kira dapatan kajian dan penilaian daripada pakar-pakar penyelidik berhubung perkembangan politik mutakhir.

“Majlis Syura ‘Ulamak Pas mengambil perhatian serius terhadap krisis dan konflik dalaman Bersatu yang dilihat telah memberi kesan kepada kekuatan, kestabilan dan keyakinan terhadap hala tuju Perikatan Nasional (PN) dalam membawa agenda penyatuan ummah.

“Dalam hal ini, MSU menegaskan bahawa Pas akan terus istiqamah mempertahankan prinsip perjuangan Islam, mendukung agenda penyatuan ummah serta mengutamakan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan mana-mana individu atau kelompok,” katanya, dipetik Harakahdaily.

Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri Kelantan berkata, setiap keputusan politik yang diambil oleh Pas mestilah dipandu oleh pertimbangan syarak, maslahah ummah, serta keperluan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan berprinsip.

Menurutnya, parti itu tidak akan berkompromi dalam soal kestabilan negara dan agenda memperkasakan penyatuan ummah yang menjadi teras perjuangan parti.

“Pas berpandangan bahawa setiap keputusan politik mestilah dipandu oleh pertimbangan syarak, maslahah ummah, kestabilan negara dan keperluan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan politik yang berprinsip, matang dan bertanggungjawab,” katanya.

Sehubungan itu, tambah Ahmad lagi, Majlis Syura ‘Ulamak telah membuat keputusan untuk menyerahkan perkara ini kepada Jawatankuasa Kerja Pas Pusat bagi mengambil tindakan yang sewajarnya, selaras dengan dasar, prinsip dan kepentingan perjuangan parti.

BACA JUGA Pas masih ulang resipi lama menjelang PRN Johor