MHO desak siasatan menyeluruh Skim GRR, 69 pemilik unit dakwa rugi lebih RM43 juta

FOTO BERITA: Serahan Memorandum dan Sidang Media oleh Dato’ Hishamuddin Hashim Setiausaha Agung MHO bersama 68 mangsa skim GRR dakwah rugi RM48 juta kepada Jabatan Peguam Negara, Putrajaya. 3hb Jun 2026 (Rabu) selepas serahan memorandum di Jabatan Peguam Negara, Putrajaya. 3hb Jun 2026 (Rabu)

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini menyerahkan memorandum kepada Jabatan Peguam Negara bagi memohon campur tangan dan perhatian segera terhadap dakwaan penipuan melibatkan skim pelaburan hartanah berkonsepkan Pulangan Sewa Terjamin atau Guaranteed Rental Return (GRR) yang didakwa mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada para pelabur.

Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim berkata, organisasi itu menerima aduan daripada mangsa-mangsa skim berkenaan sekitar pertengahan tahun lalu yang mendakwa telah diperdaya untuk menyertai program pelaburan GRR yang dianjurkan oleh sebuah syarikat tempatan.

Menurut beliau, seramai 69 pemilik unit hartanah terlibat dalam skim tersebut dengan jumlah keseluruhan nilai pembelian mencecah RM43.74 juta.

“Mangsa-mangsa mendakwa mereka telah diyakinkan dengan pelbagai janji dan tawaran menarik termasuk pulangan sewa terjamin, kadar pulangan tahunan yang tinggi antara lapan hingga 12 peratus serta jaminan pembelian semula unit hartanah pada harga pasaran semasa,” katanya.

“Bagaimanapun, pulangan sewaan yang dijanjikan tidak dibayar seperti yang dipersetujui, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap pelaksanaan skim berkenaan,” tambah beliau dalam sidang media selepas penyerahan memorandum di Jabatan Peguam Negara, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa konsep pelaburan GRR bukanlah perkara baharu kerana telah diperkenalkan sejak awal tahun 2000, namun pertumbuhan pesat skim seumpama itu pada masa kini tanpa kawal selia yang jelas menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pelabur.

Menurutnya, MHO melihat semakin banyak syarikat menawarkan skim pelaburan GRR dengan pelbagai bentuk promosi yang berpotensi mengelirukan orang ramai dan menyebabkan mereka membuat keputusan pelaburan berdasarkan janji keuntungan yang sukar direalisasikan.

Sehubungan itu, beliau menggesa agensi penguatkuasaan berkaitan agar memberikan perhatian serius terhadap perkembangan skim pelaburan tersebut bagi mengelakkan lebih ramai rakyat menjadi mangsa.

Dalam memorandum yang diserahkan kepada Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, MHO memohon supaya siasatan menyeluruh dijalankan oleh agensi-agensi berkaitan terhadap aduan yang dikemukakan oleh mangsa.

Menurut Hishamuddin, mangsa-mangsa sebelum ini telah membuat laporan dan aduan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung isu yang mereka hadapi.

“Mangsa-mangsa tidak seharusnya terus menanggung kerugian dan beban kewangan akibat janji serta representasi yang didakwa gagal ditunaikan. Mereka berhak mendapat pembelaan dan keadilan sewajarnya,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan undang-undang perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab sekiranya wujud unsur penipuan atau pelanggaran undang-undang.

“MHO menggesa agar siasatan disegerakan dan tindakan pendakwaan dilaksanakan tanpa rasa takut atau pilih kasih. Kepentingan awam perlu dipelihara dan keadilan kepada mangsa mesti ditegakkan tanpa mengira kedudukan atau pengaruh mana-mana pihak yang terlibat,” saranan beliau.