Pelancong terkejut kedai di Vietnam terima duit RM, siap gantung tag harga dalam BM
Seorang lelaki warganegara Singapura mencuri perhatian baru-baru ini selepas berkongsi pengalamannya melancong ke bandar Ho Chi Minh, Vietnam.
Menerusi perkongsian di TikTok, lelaki terbabit mengakui terkejut apabila mata wang Malaysia boleh digunakan untuk tujuan pembelian di negara itu.
Bahkan kebanyakan kedai di kawasan dikunjunginya memiliki tanda harga dalam unit ‘RM’, selain paparan untuk tujuan promosi juga dibuat dalam bahasa Melayu.
Pemilik akaun TikTok Boblet Lee Pichay itu memaklumkan bahawa ramai peniaga di kawasan tersebut turut bertutur dalam bahasa Melayu sekali gus menjadi pengalaman baharu buatnya,
“Sekarang saya berada di bandar Ho Chi Minh. Saya sangat terkejut sebab kedai yang berada di kawasan hotel ini menerima bayaran dalam Ringgit Malaysia. Saya juga ada beli Bánh mì dekat gerai tepi jalan.
“Peniaga itu bercakap dengan saya dalam bahasa Melayu. Saya terkejutlah. Rasa macam betul ke saya dekat Vietnam. Saya ada duit Ringgit tetapi peniaga ini juga menerima mata wang mereka (Dong Vietnam),” kongsinya.
Difahamkan, kawasan yang dikunjungi oleh pelancong Singapura itu terletak di Jalan Nguyen An Ninh namun lebih popular dikenali sebagai ‘Jalan Malaysia’ atau Jalan Halal Saigon.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna berpendapat bahawa situasi tersebut berlaku berpunca daripada prestasi mata wang Ringgit Malaysia yang kukuh di rantau Asia.
Beberapa pengguna TikTok pula memberitahu Ringgit mungkin diterima kerana perniagaan yang beroperasi di Pintu Barat Pasar Ben Thanh itu adalah hab utama pelancong Malaysia dan Muslim di Vietnam.
BACA JUGA Rakyat Indonesia kongsi kenapa mereka suka sambung belajar di universiti Malaysia