Pemuda Pas Perlis berkeras dakwa Bersatu memang terlibat usaha jatuhkan MB
Pemuda Pas Perlis berterusan mendakwa usaha untuk menjatuhkan Menteri Besar Perlis sebelum ini sememangnya digerakkan oleh Bersatu, meskipun dakwaan tersebut berulang kali dinafikan oleh parti berkenaan.
Ketua Dewan Pemuda Pas Perlis, Haziq Asyraf Dun berkata, Pas kesal dengan tindakan rakan sekutu mereka yang terus menerus menafikan peranan ADUN-ADUN Bersatu dalam merancang langkah menjatuhkan Menteri Besar Perlis daripada Pas.
Katanya, isu ini bukan lagi persepsi atau dakwaan politik, tetapi ianya telah diakui sendiri dalam satu pertemuan rasmi.
“Dalam satu pertemuan bersama Dewan Harian Pas Pusat pada 21 Disember 2025 yang turut dihadiri oleh semua ADUN Pas Perlis, tiga ADUN terbabit secara terbuka mengakui bahawa mereka telah menandatangani SD bersama ADUN-ADUN Bersatu.
“Pengakuan tersebut bukan sahaja didengari oleh para hadirin, malah telah direkod dan diminitkan dalam perbincangan tersebut.
“Justeru, adalah menghairankan apabila Bersatu terus memilih untuk menafikan perkara yang telah diakui sendiri oleh individu-individu yang terlibat secara langsung dalam usaha tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut melahirkan kekesalan terhadap tindakan Bersatu yang didakwa berulang kali menafikan peranan ADUN-ADUN parti itu dalam perancangan menjatuhkan Menteri Besar Perlis daripada Pas.
Haziq Asyraf berkata, penafian berulang kali terhadap fakta yang telah direkodkan hanya akan memanjangkan kemelut dalam Perikatan Nasional.