PRN Johor: Senarai calon DAP jadi bualan, rupanya sah palsu

Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching mengesahkan bahawa senarai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) dari parti itu yang tersebar di media sosial sebenarnya maklumat palsu.

“Berita palsu. Sila jangan sebarkan atau kongsi mesej yang tidak sahih,” katanya ringkas menerusi hantaran di Facebook beliau sebentar tadi.

Berdasarkan senarai yang disahkan palsu itu, terdapat 15 individu kononnya dinamakan sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Daripada 15 kerusi DUN itu, terpampang nama Alan Tee Boon Tsong sebagai calon bagi N48 Skudai yang sebelum ini disandang Marina Ibrahim sejak Mac 2022.

Untuk rekod, Johor mempunyai 56 kerusi DUN keseluruhannya.

Sebelum DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu, Pakatan Harapan (PH) mempunyai 12 kerusi DUN hasil keputusan PRN Johor 2022.

Daripada 12 kerusi itu, DAP penyumbang terbesar iaitu 10 kerusi manakala PKR dan AMANAH masing-masing satu kerusi.

BACA JUGA Ini sebabnya Johor perlu kerajaan sealiran dengan Putrajaya