Dakwa PMX gagal sebab harga minyak, Caprice bagi soalan perangkap dekat Armada

Rakaman podcast antara aktivis sensasi, Caprice bersama wakil daripada Armada Bersatu Petaling Jaya menarik perhatian ramai susulan perbincangan mengenai kenaikan harga minyak dan janji Perdana Menteri untuk menurunkannya.

Dalam rakaman tersebut, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli bertanya apa alasan Armada Bersatu mendakwa Perdana Menteri adalah pemimpin yang gagal. 

Salah satu faktor disebutkan wakil Armada itu adalah kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan janji untuk menurunkan harga minyak.

Poin itu disanggah Caprice dengan mengajukan soalan demi soalan kepada wakil Armada berkenaan bagi mendapatkan alasan kepada dakwaannya.

Caprice mempersoalkan sama ada masih wajar untuk terus memainkan rakaman lama Anwar berhubung isu penurunan harga minyak tanpa mengambil kira realiti semasa dan mekanisme penetapan harga bahan api ketika ini.

“Anwar adalah Perdana Menteri yang gagal. Seperti semua orang tahu, beliau tak menunaikan janji yang ditaburkan kepada rakyat untuk menurunkan harga minyak,” katanya dalam rakaman itu.

Caprice bertanya sama ada wakil Armada itu sendiri akan menurunkan harga minyak sekiranya diberikan peluang menjadi Perdana Menteri. 

Wakil berkenaan bagaimanapun menjawab tidak, sekali gus menjadi asas kepada hujah Caprice bahawa isu tersebut tidak semudah yang digambarkan.

“Kenyataan yang selalu diulang-ulang (‘hari ini menang, esok minyak turun’) itu tahun bila. Anda sebagai ahli perniagaan tahu, harga bahan mentah boleh naik dan turun secara tiba-tiba.

“Berdasarkan situasi semasa, adakah anda sendiri sebagai Perdana Menteri akan menurunkan harga minyak? Jadi adakah anda bersetuju bahawa beliau sudah melaksanakan tugas dengan baik?,” soal Caprice.

Caprice dalam hujahnya turut menerangkan bahawa peningkatan harga minyak mentah adalah isu global yang menjejaskan seluruh dunia.

Malah harga minyak bersubsidi di Malaysia adalah antara yang termurah di Asia Tenggara sekali gus mencerminkan kemampuan pentadbiran Anwar dalam mendepani krisis global.