Jangan salahkan doktor!, Dr Rafidah dedah hospital kritikal, hanya tiga MO kendali kes O&G

Seorang doktor perubatan tampil mempertahankan petugas kesihatan awam yang kini berdepan tekanan luar biasa susulan kekurangan tenaga kerja di hospital kerajaan.

Berkongsikan satu notis dari Hospital Segamat, Johor bertarikh 3 Jun lalu, Dr Rafidah Abdullah menzahirkan penghargaan kepada pengarah hospital itu yang membuat keputusan berdasarkan kemampuan sebenar tenaga kerja sedia ada.

Menerusi notis penangguhan rujukan kes-kes Obstetrik dan Ginekologi (O&G) dari Rompin, Pahang dan Gemas, Negeri Sembilan ke Hospital Segamat itu, dimaklumkan bahawa jabatan berkenaan hanya mempunyai tiga pegawai perubatan (MO).

Menurut Dr Rafidah, jumlah tersebut tidak memungkinkan mereka mengendalikan kes-kes berat secara optimum, apatah lagi apabila kekurangan doktor turut berlaku dalam pelbagai perkhidmatan lain di hospital berkenaan.

“Tahniah Pengarah Hospital. Membuat keputusan selaras dengan staf yang ada.

“Hanya ada tiga MO di dalam O&G, mana mungkin handle kes-kes berat,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Beliau turut menyifatkan pengarah hospital tersebut wajar diberikan penghargaan kerana berani membuat keputusan yang mengambil kira keselamatan pesakit dan kemampuan sebenar petugas.

Beban tugas

Dalam masa sama, Dr Rafidah berkata, ramai petugas kesihatan dari seluruh negara menghubunginya secara peribadi untuk meluahkan keletihan akibat beban tugas yang semakin berat.

Katanya, ramai doktor dan kakitangan kesihatan kini berada dalam keadaan “tonggang-terbalik” bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat terus berjalan walaupun berdepan kekangan tenaga kerja.

“Saya tahu ramai yang sudah penat. Bertahanlah. Kita hanya mampu lakukan apa yang termampu. Jangan rasa bersalah. Jaga diri sendiri dahulu,” katanya.

Beliau turut menggesa masyarakat supaya lebih memahami realiti yang sedang dihadapi sektor kesihatan awam dan tidak terus menyalahkan petugas apabila berlaku masalah dalam penyampaian perkhidmatan.

“Jangan minta dan harapkan yang bukan-bukan. Tak habis-habis viral, SisPAA (Sistem Pengurusan Aduan Awam).

“Terimalah hasilnya. Jangan salahkan petugas kesihatan,” katanya lagi.

Mengulas langkah penyelesaian jangka panjang, Dr Rafidah menegaskan kerajaan perlu segera menamatkan sistem kontrak dalam kalangan petugas kesihatan jika benar-benar serius mahu menangani krisis kekurangan tenaga kerja yang semakin membimbangkan.

“Solusi pertama kalau serius ingin menangani isu sebegini, hapuskan sistem kontrak skim petugas kesihatan. Laksanakan sekarang,” tegas Dr Rafidah lagi.

BACA JUGA 2,000 pengunjung berpeluang nikmati juadah Kenduri Rahmah