Krisis Timur Tengah patut buka mata, Anwar gesa peralihan tenaga dipercepat, inisiatif ini jadi taruhan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keperluan mendesak untuk mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh baharu susulan ketidaktentuan geopolitik global, khususnya konflik berpanjangan di Timur Tengah yang terus memberi tekanan kepada rantaian bekalan tenaga dunia.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Energy Transition Conference (ETCon) 2026, sebuah platform yang menghimpunkan pemain industri tenaga dari dalam dan luar negara bagi bertukar pandangan, berkongsi kepakaran serta meneroka pendekatan strategik ke arah pembangunan sektor tenaga yang mampan.

Menurutnya, masa depan sektor tenaga global menuntut anjakan pemikiran serta keberanian untuk meneroka penyelesaian baharu, memandangkan dunia tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada bahan api fosil.

“Krisis yang berlarutan di Timur Tengah memperlihatkan betapa rapuhnya kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional.

“Dunia perlu mempercepat peralihan kepada sumber tenaga boleh baharu yang lebih bersih, mampan dan berdaya tahan,” katanya.

Perdana Menteri semasa Majlis peluncuran Persidangan Energy Transition Conference 2026 (ETCon26) hari ini.

Pada masa sama, Anwar menjelaskan perkembangan pesat teknologi serta tuntutan globalisasi telah meningkatkan keperluan terhadap bekalan tenaga yang stabil dan mencukupi.

Beliau menekankan bahawa pertumbuhan pusat data yang menjadi tunjang kepada kemajuan kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan industri semikonduktor turut menjadikan agenda transisi tenaga semakin mendesak.

“Keperluan tenaga semakin meningkat seiring pembangunan pusat data dan teknologi baharu.

“Ini menuntut perancangan tenaga yang lebih strategik dan mampan bagi memastikan bekalan kekal stabil,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan komitmen Malaysia untuk menjayakan ASEAN Power Grid sebagai inisiatif penting memperkukuh kerjasama serantau dalam pembangunan dan perkongsian sumber tenaga.

Anwar berkata, usaha tersebut akan membolehkan negara-negara ASEAN berkongsi tenaga secara lebih bersepadu, cekap dan terjamin, sekali gus meningkatkan keselamatan tenaga rantau ini.

“ASEAN Power Grid adalah langkah strategik untuk memastikan masa depan tenaga yang lebih stabil dan saling menyokong antara negara anggota,” kata Perdana Menteri lagi.

BACA JUGA Kritik Pas tak bermakna kritik Islam dan ulamak, Mahfuz sanggah naratif Hadi Awang