PH boleh rampas semula Johor, dua sifir mudah ini boleh ubah segalanya

Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang yang lebih cerah untuk mencabar dominasi lawan dan kembali menjadi kuasa penting dalam pentadbiran Johor.

Pemerhati politik, Norman Radzuan berpendapat PH masih mempunyai peluang untuk kembali menguasai kerajaan negeri Johor meskipun dianggap sebagai ‘underdog’ berdasarkan keputusan pilihan raya lalu.

Beliau berpendapat peluang itu bukan sesuatu yang mustahil jika PH memberi tumpuan kepada dua faktor utama yang berpotensi mengubah landskap politik negeri berkenaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Bekas editor berkenaan berkata, faktor pertama ialah meningkatkan peratusan keluar mengundi kepada antara 70 hingga 75 peratus.

Faktor kedua pula, jelasnya, memberi fokus khusus kepada pengundi muda yang disasarkan merangkumi sekitar 40 peratus daripada keseluruhan pengundi.

“Kita dilihat sebagai underdog berdasarkan keputusan pilihan raya lalu, tetapi sebenarnya kita masih berpeluang sekali lagi menjadi kerajaan jika fokus kepada dua faktor utama.

“Pertama, kempen keluar mengundi dengan sasaran 70 hingga 75 peratus. Kedua, kempen yang memberi fokus kepada anak muda dengan sasaran sekitar 40 peratus pengundi muda,” katanya.

Beliau berkata, strategi untuk mencapai matlamat tersebut tidak semestinya terlalu rumit atau sarat dengan pendekatan teknikal.

Sebaliknya, katanya, apa yang lebih penting ialah keupayaan PH mengekalkan fokus terhadap kelompok sasaran yang berpotensi menentukan keputusan pilihan raya.

“Sebenarnya strategi tidak perlu terlalu teknikal dan taktikal sangat. Hanya satu sifir mudah iaitu fokus,” hujahnya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Dalam masa sama, Norman turut menegaskan bahawa pendekatan PH perlu kekal berpaksikan kepada kepentingan semua rakyat Johor tanpa mengira kaum dan latar belakang.

BACA JUGA PNK ke-92 ditubuhkan, dekatkan kebajikan nelayan dengan komuniti setempat