Dominasi satu parti bukan formula jamin kestabilan politik
Oleh SHEIKH OMAR ALI
Sewaktu Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan hasrat Barisan Nasional (BN) Johor untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), mesej yang ingin disampaikan ialah BN bersedia membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan kuat.
Dalam bahasa politik, hasrat tersebut memberi gambaran bahawa BN mahu kembali menjadi parti tunggal yang membentuk kerajaan negeri, sebagaimana sebelum tahun 2018.
Ramai melihat kenyataan ini sebagai satu manifestasi keghairahan BN terhadap kedudukan politik semasanya.
Namun pada masa yang sama, ia turut menimbulkan persoalan sama ada pendekatan tersebut berisiko mengembalikan suatu bentuk dominasi politik yang terlalu tertumpu kepada satu parti?
Dominasi politik yang berlebihan boleh mewujudkan ketidakseimbangan kuasa dalam sesebuah sistem demokrasi.
Dalam keadaan tertentu, semak dan imbang mungkin menjadi kurang berkesan, manakala pandangan alternatif berisiko tidak diberikan perhatian sewajarnya.
Pengajaran daripada era sebelum 2018
Kebimbangan ini bukanlah sesuatu yang timbul tanpa asas. Ia perlu dilihat dalam konteks sejarah politik negara sebelum tahun 2018.
Walaupun Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, realitinya BN ketika itu berada dalam kedudukan yang begitu dominan sehingga ramai rakyat beranggapan pertukaran kerajaan adalah sesuatu yang hampir mustahil berlaku.
Keadaan tersebut telah mewujudkan budaya ‘politik ketakutan’ yang mana sebahagian rakyat berasa bimbang untuk membayangkan perubahan kerajaan kerana mereka sering diperingatkan tentang risiko ketidakstabilan sekiranya berlaku pertukaran kuasa.
Dalam erti kata lain, sokongan kepada kerajaan pada waktu itu bukan semata-mata didorong oleh keyakinan terhadap sesuatu parti, tetapi juga oleh kebimbangan terhadap kemungkinan yang akan berlaku jika kerajaan sedia ada digantikan.
Pengalaman selepas 2018 bagaimanapun telah membuktikan bahawa demokrasi yang sihat memerlukan persaingan politik yang sihat, semak dan imbang yang berkesan serta keyakinan rakyat bahawa pertukaran kerajaan melalui proses pilihan raya adalah sesuatu yang normal dalam sebuah negara demokratik.
Atas sebab itulah, sebarang usaha untuk kembali kepada landskap politik yang terlalu didominasi satu parti wajar dinilai dengan berhati-hati agar kematangan demokrasi yang telah dicapai tidak terhakis.
Mengapa kebimbangan ini timbul?
Pertama, menjelang pembubaran DUN Johor, keputusan untuk melantik lima ADUN lantikan misalnya dibuat dengan begitu pantas walaupun terdapat pandangan dan bantahan daripada pelbagai pihak.
Perlu diakui bahawa pelantikan tersebut adalah sah dari sudut peruntukan undang-undang.
Namun, persoalan yang dibangkitkan ialah sama ada ia benar-benar diperlukan ketika kerajaan sedia ada telah memiliki majoriti yang kukuh di Dewan Negeri.
Keadaan ini menimbulkan persepsi bahawa pandangan yang berbeza mungkin tidak diberikan pertimbangan yang secukupnya, sekali gus mengundang kebimbangan terhadap kecenderungan penguasaan politik yang terlalu besar oleh satu pihak.
Kedua, keputusan untuk membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya negeri secara berasingan daripada pilihan raya umum turut mengundang perbahasan.
Dalam keadaan krisis global di Asia Barat yang memberi kesan kepada ekonomi negara, sebahagian pihak berpendapat bahawa pilihan raya berasingan akan mengakibatkan beban kos tambahan kepada kerajaan dan rakyat.
Walaupun kerajaan negeri mempunyai pertimbangannya sendiri, pandangan-pandangan sebegini sepatutnya diberikan perhatian dalam semangat tadbir urus yang inklusif.
Perpaduan melahirkan kestabilan
Pengalaman politik negara sejak tahun 2018 menunjukkan bahawa kestabilan tidak semestinya lahir daripada penguasaan mutlak oleh satu parti politik.
Sebaliknya, kestabilan boleh dicapai melalui kerjasama, perkongsian tanggungjawab dan perpaduan antara pelbagai parti yang mewakili latar berbeza.
Di peringkat Persekutuan, pendekatan Kerajaan Perpaduan telah memperlihatkan bagaimana keseimbangan kuasa dapat diwujudkan sambil memastikan manfaat pembangunan disalurkan kepada seluruh rakyat tanpa mengira kecenderungan politik atau negeri yang ditadbir.
Johor sendiri turut menerima manfaat daripada pendekatan tersebut melalui pelbagai inisiatif pembangunan dan pelaburan strategik, termasuk pembangunan pusat data, projek RTS, pengukuhan JS-SEZ, program bantuan sosioekonomi rakyat serta pelbagai projek pembangunan lain.
Hakikatnya, landskap politik Malaysia pasca PRU-14 telah banyak berubah. Gagasan bahawa hanya satu parti sahaja mampu membentuk kerajaan yang stabil dan kuat bukan lagi formula tunggal.
Apa yang lebih penting ialah memastikan wujudnya keseimbangan kuasa, budaya semak dan imbang yang sihat, serta kerjasama politik yang mampu menjamin kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan rakyat Johor untuk jangka panjang.
Justeru, kestabilan yang lahir daripada perpaduan dan keseimbangan kuasa adalah jauh lebih bernilai berbanding dominasi politik oleh mana-mana pihak sepertimana hasrat dinyatakan BN Johor.
BACA JUGA Tuanku Muhriz perkenan bubar DUN Negeri Sembilan hari ini