Malaysia perlu mencari rakan strategik sejati di luar hegemoni barat

OLEH RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH

Malaysia, serta negara-negara lain yang cintakan kebebasan perlu menilai semula siapakah sahabat dan sekutu yang benar-benar boleh dipercayai pada hari ini. 

Pembatalan secara mengejut terhadap penghantaran sistem peluru berpandu yang ditempah dan dibayar oleh Malaysia daripada Norway sejak pada tahun 2018 merupakan satu kejutan besar yang meninggalkan rasa kecewa dan pahit mengenai siapa sebenarnya “sahabat” kita.

Norway sebelum ini dianggap sebagai sebuah negara yang mesra dan boleh dipercayai oleh Malaysia, sebuah negara Islam sederhana yang progresif dan berbilang kaum. 

Namun, pembatalan mengejut perjanjian senjata yang sepatutnya dihantar pada tahun ini selepas 95% pembayaran dibuat adalah sesuatu yang amat memalukan dan tidak menghormati Malaysia.

Antara alasan yang diberikan ialah senjata tersebut hanya boleh dijual kepada “sekutu dan rakan kongsi terdekat”, yang secara tidak langsung menunjukkan bahawa Malaysia tidak dianggap sebagai negara yang dihargai atau dipandang penting ia itu satu penghinaan.

Peristiwa ini mungkin membuktikan hakikat bahawa kita tidak boleh bergantung kepada Norway, mahupun negara-negara NATO lain secara keseluruhannya, untuk membantu apabila berdepan ancaman terhadap keselamatan dan pertahanan negara.

Pengalaman terkini yang menyaksikan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutu NATOnya tidak membantu Emiriah Arab Bersatu (UAE), walaupun negara itu dianggap sekutu rapat mereka, ketika berdepan serangan balas Iran, merupakan bukti jelas tentang ketidakbolehpercayaan Barat walaupun terhadap rakan pertahanan mereka sendiri.

Malaysia dan negara-negara ASEAN perlu mengambil iktibar daripada pengalaman tersebut dengan mencari rakan strategik yang lebih boleh dipercayai dalam dunia yang semakin bersifat multipolar, terutama ketika berdepan kemungkinan ancaman luar.

Malah Turkiye, sebuah negara anggota penuh NATO yang sepatutnya dianggap sebagai sekutu rapat Barat, masih dinafikan kemasukan ke Kesatuan Eropah yang didominasi negara-negara Barat. Ini dilihat sebagai petanda wujudnya prejudis yang mendalam.

Lawatan Pete Hegseth dari Amerika Syarikat ke Singapura baru-baru ini menyaksikan tokoh kanan pentadbiran Trump itu menggesa rantau ASEAN supaya bersedia menghadapi ancaman peperangan serantau. 

Jaminan perlindungan yang diberikan Amerika Syarikat kelihatan semakin diragui apabila negara itu tidak membantu sekutu-sekutunya di Teluk ketika Iran melancarkan serangan balas terhadap pangkalan tentera Amerika di rantau tersebut.

Dunia Barat yang diterajui Amerika Syarikat tidak boleh diharapkan untuk membantu kita, sebagaimana dibuktikan melalui tindakan Norway yang enggan menghantar sistem peluru berpandu yang telah dibeli dan hampir sepenuhnya dibayar oleh Malaysia. 

Tindakan ini dilihat berpunca daripada prejudis yang dipengaruhi oleh NATO dan Amerika Syarikat, malah mungkin juga unsur Islamofobia.

Barat pada masa lalu hanya berminat melindungi kepentingan kolonial mereka di negara-negara Komanwel ketika mereka mengeksploitasi sumber semula jadi kita sebelum kemerdekaan. 

Tidak pernah wujud semangat sebenar perkongsian dalam “Komanwel”, sebaliknya hubungan yang wujud lebih menyerupai hubungan seperti tuan dan hamba dengan pendekatan pecah dan perintah bagi memastikan kita terus lemah.

Malaysia perlu memberi tumpuan kepada pengukuhan ASEAN dan memperkukuh kedudukan serantau bagi mengelakkan sebarang usaha pihak luar untuk memecah-belahkan kita. 

Pada akhirnya, hubungan persaudaraan sesama jiran serantau jauh lebih meyakinkan berbanding politik Barat yang sering berasaskan kepentingan sendiri, seperti yang menyaksikan Vietnam dan Afghanistan ditinggalkan selepas peperangan yang panjang.

Matahari sedang terbit naik di Timur. Kita perlu melihat kepada China, Jepun dan Korea kerana kita berkongsi lebih banyak kepentingan, budaya dan nilai bersama. 

Sebaliknya, matahari sedang jatuh terbenam di Barat apabila negara-negara Barat bergelut dengan cabaran ekonomi dan berusaha mengekalkan pengaruh melalui sekatan ekonomi, dasar agresif dan retorik peperangan yang memecah-belahkan dunia.

Malaysia boleh beralih kepada industri pertahanan Turkiye untuk mendapatkan senjata canggih dan pesawat pejuang. 

Turkiye sendiri pernah mengalami pengalaman pahit apabila permohonan pembelian senjata dari Amerika Syarikat ditolak, yang dipercayai ada kaitan dengan statusnya sebagai negara majoriti Muslim.

Turkiye kemudiannya beralih kepada Rusia bagi mendapatkan bekalan senjata dan kini berjaya membangunkan industri pertahanannya sendiri yang maju serta mendapat permintaan tinggi di peringkat antarabangsa.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai hubungan yang baik dengan Presiden Erdogan dan hubungan persahabatan ini wajar dimanfaatkan untuk menunjukkan bahawa Malaysia mampu menjaga kepentingannya sendiri tanpa perlu tunduk kepada layanan yang dianggap menghina daripada negara-negara Barat melalui sekatan senjata dan ancaman tarif yang tidak munasabah.

Malaysia perlu menerima sepenuhnya konsep dunia multipolar dan komited kepada realiti ekonomi baharu yang dibawa oleh BRICS sebagai hala tuju masa depan yang lebih terjamin dan cerah..

Raja Kamarul merupakan Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH