Hospital Segamat ditutup? Ini jawapan Menteri Kesihatan
Kerajaan memberi jaminan bahawa tiada mana-mana fasiliti kesihatan di negara ini ditutup, termasuk Hospital Segamat yang tular dikaitkan dengan gangguan perkhidmatan akibat peningkatan mendadak jumlah pesakit.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, situasi di Hospital Segamat berpunca daripada tekanan perkhidmatan susulan lonjakan kemasukan pesakit, bukannya penutupan operasi hospital seperti yang didakwa.
“Tiada penutupan perkhidmatan berlaku. Apa yang dilaksanakan hanyalah pengagihan dan rujukan pesakit ke klinik atau fasiliti kesihatan berhampiran,” katanya.
Menurut beliau, langkah tersebut diambil bagi menguruskan beban perkhidmatan dan memastikan setiap pesakit terus menerima rawatan yang sewajarnya tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan kesihatan.
Beliau menjelaskan bahawa pesakit yang sedang menerima rawatan di wad Hospital Segamat akan terus dirawat seperti biasa, manakala pesakit luar akan dirujuk ke fasiliti kesihatan yang bersesuaian mengikut keperluan.
“Pesakit yang sedang menerima rawatan dalam wad akan terus mendapat perkhidmatan seperti biasa di Hospital Segamat, manakala pesakit luar akan dirujuk ke fasiliti yang bersesuaian. Perkhidmatan kesihatan tetap diteruskan dan tidak dihentikan,” katanya lagi.
Dzulkefly berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia Peringkat Kementerian Kesihatan 2026 yang diadakan di sebuah pasar raya hari ini.
Penjelasan itu sekali gus menafikan dakwaan bahawa Hospital Segamat menghentikan operasinya, sebaliknya hanya melaksanakan langkah pengagihan dan rujukan pesakit bagi mengurus tekanan terhadap kapasiti perkhidmatan susulan peningkatan kemasukan pesakit.
BACA JUGA Mahkamah dah larang? : Setiausaha DKU cadang tindakan hina mahkamah