Jangan terpedaya politik perkauman, pilih kestabilan demi masa depan negara

Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat menolak politik yang memainkan sentimen perkauman dan sebaliknya menggunakan kuasa mereka untuk memilih sebuah kerajaan yang mampu menjamin kestabilan politik serta memperkukuh ekonomi negara.

Menurut beliau, keutamaan beliau adalah meneruskan kerjasama politik yang dapat memastikan pentadbiran berjalan lancar dan memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat.

“Pilihan saya ialah meneruskan kerjasama, menjaga negeri ini serta bekerja untuk menyelamatkan ekonomi rakyat. Itu pilihan saya,” katanya ketika melancarkan jentera Pakatan Harapan di Batu Pahat, Johor.

Anwar berkata, sekiranya ada pihak yang memilih jalan yang membawa kepada ketidaktentuan dan kekacauan politik, ia adalah hak mereka, namun beliau menegaskan Pakatan Harapan bersedia menghadapi sebarang pertandingan secara demokratik.

“Kalau mahu berkawan, kita berkawan. Kalau mahu berlawan, kita juga bersedia untuk berlawan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kuasa menentukan masa depan negara kini berada di tangan rakyat dan perlu digunakan dengan penuh tanggungjawab.

“Kuasa itu kini kembali kepada rakyat. Gunakanlah kuasa itu dengan sebaik-baiknya kerana kerajaan yang dipilih rakyat akan menentukan sama ada negara dipimpin dengan baik, menjaga kebajikan rakyat dan membawa kemajuan kepada semua,” katanya.

Dalam masa sama, Anwar mengkritik pihak yang terus memainkan isu perkauman kerana menurutnya mereka gagal menawarkan penyelesaian terhadap masalah sebenar yang dihadapi rakyat.

“Orang Melayu, Cina dan India sebenarnya boleh hidup bersama dengan saling menghormati. Perpecahan ini dihasut oleh ahli politik yang sudah bankrap idea. Mereka tidak bercakap tentang ekonomi, peluang pekerjaan, kestabilan politik, reformasi, harga barang atau perumahan rakyat,” katanya.

Beliau turut menyeru golongan muda dan wanita supaya bersama-sama membina budaya politik yang lebih matang dan berteraskan kepentingan negara.

Mengakhiri ucapannya, Anwar menegaskan bahawa kebijaksanaan rakyat merupakan benteng paling ampuh dalam mempertahankan demokrasi.

“Jika rakyat bijaksana, tiada siapa yang mampu mengalahkan kita dan tiada sejumlah wang pun yang mampu membeli maruah serta pendirian kita,” katanya.