Nak perbaharui lesen? Semua Mall wajib sedia fasiliti kitar semula
Kerajaan MADANI memutuskan untuk mewajibkan semua pusat membeli-belah menyediakan Fasiliti Pengitaran Semula (FPS) sebagai salah satu syarat permohonan dan pembaharuan lesen premis di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT), yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai Jun 2026.
Keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung semalam sebagai langkah memperkukuh pengurusan sisa pepejal negara dan mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah ekonomi kitaran yang lebih mampan.
Pelaksanaan dasar baharu itu akan dimulakan dengan sesi libat urus dan program kesedaran bagi menggalakkan penyertaan sukarela pengusaha pusat membeli-belah sebelum diteruskan dengan projek rintis di beberapa PBT terpilih.
Hasil penilaian daripada projek tersebut akan menjadi asas kepada penguatkuasaan secara berfasa sebelum ia diperluaskan sebagai syarat mandatori kepada semua pusat membeli-belah di seluruh negara.
Langkah berkenaan juga akan dibawa ke Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT) bagi memastikan pelaksanaannya dapat diselaraskan antara kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.
Kerajaan menjelaskan keperluan dasar itu semakin mendesak memandangkan Malaysia kini menjana lebih 39,000 tan sisa pepejal setiap hari, sekali gus memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh untuk meningkatkan kadar kitar semula negara.
Selain mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan sisa, inisiatif itu juga dijangka menyokong pelaksanaan dasar Extended Producer Responsibility (EPR) atau Peluasan Tanggungjawab Pengeluar.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata pusat membeli-belah merupakan lokasi yang paling kerap dikunjungi masyarakat dan sesuai dijadikan pusat pengumpulan bahan kitar semula.
“Dengan mewujudkan fasiliti kitar semula di lokasi strategik ini, rakyat akan mempunyai akses yang lebih mudah untuk mengasing dan menghantar bahan yang boleh dikitar semula secara bertanggungjawab.
“Langkah ini bukan sahaja membantu meningkatkan kadar kitar semula negara serta mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, malah merupakan pelaburan jangka panjang ke arah membentuk masyarakat yang lebih prihatin terhadap alam sekitar dan menyokong pembangunan ekonomi yang lebih lestari,” katanya.
Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), pelaksanaan FPS dijangka memberi manfaat kepada masyarakat, pengusaha pusat membeli-belah dan PBT melalui penyediaan kemudahan yang lebih mudah diakses serta peningkatan kadar pengumpulan bahan kitar semula.
Malah, orang ramai juga berpeluang menjana nilai ekonomi menerusi program “trash to cash”, iaitu menghantar bahan kitar semula ke fasiliti yang disediakan untuk memperoleh pulangan tertentu.
Selain membantu mencapai sasaran Kadar Kitar Semula Kebangsaan, pewujudan FPS turut dijangka memperkukuh pengurusan sisa pepejal bandar dan meningkatkan skor kemampanan bandar di bawah sistem MURNInets.
Bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar, KPKT akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri, PBT, pengusaha pusat membeli-belah serta kementerian dan agensi berkaitan bagi menyediakan garis panduan yang jelas dan seragam.
Kementerian turut menyeru semua pihak termasuk kerajaan negeri, PBT, sektor swasta dan masyarakat untuk bersama-sama menjayakan inisiatif tersebut demi membentuk Malaysia yang lebih bersih, hijau dan mampan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta agenda pembangunan lestari negara.