TVET masuk era AI – Anwar arah latihan teknologi baharu mula bulan depan
Kerajaan bakal memberi nafas baharu kepada pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua institusi latihan kerajaan menyediakan program khas dalam bidang teknologi masa depan seperti kecerdasan buatan (AI), kripto dan peralihan tenaga bermula bulan depan.
Langkah itu disifatkan sebagai usaha mempercepatkan pembentukan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri baharu serta menawarkan peluang pendapatan lebih lumayan kepada graduan TVET.
Berucap merasmikan Sambutan Hari TVET 2.0 di Dataran Putrajaya, Anwar berkata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar akan menyelaras pelaksanaan program tersebut di seluruh institusi berkaitan.
Menurut beliau, setiap institusi TVET yang terpilih perlu memberi peluang latihan awal kepada sekitar 50 hingga 100 pelajar untuk mengikuti pengkhususan dalam bidang strategik yang sedang berkembang pesat di peringkat global.
“Saya mahu pastikan dan KSN akan menjelaskan supaya semua badan latihan pendidikan kerajaan diwajibkan mulai bulan depan berikhtiar memberi peluang latihan awal kepada antara 50 hingga 100 orang di setiap institusi TVET yang terpilih.
“Mereka akan didedahkan kepada bidang yang benar-benar baharu seperti AI, kripto dan peralihan tenaga sebelum ditempatkan di institusi penyelidikan dan latihan berkaitan termasuk MARDI, pusat kripto serta badan-badan pendidikan di bawah Majlis Sains Negara,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET (MTVET) Negara.
Anwar berkata KSN dijangka memanggil semua institusi pendidikan berkaitan dalam masa terdekat bagi menentukan jumlah pelajar yang akan dipilih untuk mengikuti kursus tambahan serta latihan pengkhususan tersebut.
Menurut beliau, pendekatan itu penting supaya Malaysia mempunyai kumpulan bakat yang benar-benar bersedia menghadapi perubahan teknologi dan keperluan ekonomi masa depan.
Dalam masa sama, Perdana Menteri berpandangan graduan TVET yang menguasai bidang teknologi baharu sewajarnya menerima ganjaran lebih tinggi berbanding sebahagian pemegang ijazah akademik biasa.
“Ini bermakna lulusan TVET yang terpilih itu dengan sendirinya terangkat melebihi daripada ijazah Sarjana Muda.
“Maka sewajarnya upah dan gaji mereka harus dipastikan lebih daripada apa yang diperoleh oleh mana-mana siswazah yang memiliki ijazah Sarjana Muda,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan telah melaburkan dana yang besar dalam sektor penyelidikan dan pembangunan, justeru negara memerlukan tenaga mahir yang mampu menterjemahkan pelaburan tersebut kepada pertumbuhan ekonomi serta inovasi.
Sambutan Hari TVET 2.0 yang membawa tema “TVET Pilihan Utama Kerjaya” berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad, menghimpunkan lebih 107 agensi, institusi pendidikan dan pemain industri daripada sembilan sektor utama.
Inisiatif terbaharu kerajaan itu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi memperkasakan TVET supaya tidak lagi dianggap sebagai pilihan kedua, sebaliknya menjadi laluan utama melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam era ekonomi digital dan kecerdasan buatan.
BACA JUGA Kompromi, pemimpin Pas Perlis dapat banyak jawatan lantikan