Anwar lancar Jentera PH Johor, seru rakyat pilih kepimpinan berintegriti dan bebas rasuah

FOTO BERITA: Pelancaran Jentera Pilihanraya Pakatan Harapan Johor disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim Pengerusi Pakatan Harapan (PH) di Kim’s Park Business Centre, Batu Pahat pada jam 8.00 malam. 6hb Jun 2026 (Sabtu)

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Johor supaya membuat pilihan bijak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan memilih kepimpinan yang berintegriti, bebas rasuah serta mengutamakan kebajikan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Johor di Kim’s Park Business Centre di sini malam ini yang dihadiri ribuan penyokong daripada pelbagai kaum dan latar belakang.

Anwar yang juga Perdana Menteri berkata sambutan luar biasa yang diterima pada majlis tersebut membuktikan rakyat Johor mahukan perubahan dan bersedia memberikan sokongan kepada agenda reformasi yang dibawa Kerajaan MADANI.

Menurut beliau, Johor merupakan antara negeri yang menerima manfaat besar hasil pelbagai projek pembangunan yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan termasuk pembangunan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Forest City, Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura serta Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). Namun, katanya, kejayaan pembangunan tidak seharusnya diukur semata-mata melalui projek mega, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada rakyat seperti peluang pekerjaan, perumahan mampu milik, pendidikan dan peningkatan pendapatan.

“Setiap projek besar mesti memberi pulangan kepada rakyat. Kita tidak mahu pembangunan hanya menguntungkan segelintir pihak atau menjadi ruang untuk komisen dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Anwar turut menegaskan bahawa Kerajaan MADANI berpegang teguh kepada prinsip tadbir urus yang baik serta menolak sebarang bentuk rasuah dan penyelewengan.

“Kita mungkin berbeza pandangan dalam banyak perkara, tetapi saya tidak akan mengkhianati amanah rakyat dan mencuri wang rakyat. Itu prinsip yang tidak boleh dikompromi,” katanya.

Beliau berkata kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pelaksanaan gaji minimum baharu, kenaikan gaji penjawat awam, bantuan pendidikan serta pelbagai inisiatif kebajikan yang lebih tersusun dan bermaruah.

Dalam pada itu, Anwar menolak politik perkauman sempit dan menggesa rakyat terus mempertahankan keharmonian masyarakat majmuk negara.

Katanya, Kerajaan MADANI tetap mempertahankan hak orang Melayu dan Bumiputera sambil memastikan peluang yang adil diberikan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum berdasarkan merit dan keperluan.

“Orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain adalah sebahagian daripada keluarga besar Malaysia. Kita mesti bergerak bersama dan saling menghormati,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan mampu mempercepatkan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan serta memberi manfaat lebih besar kepada rakyat. Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat Johor memberikan mandat kepada Pakatan Harapan bagi memastikan agenda pembangunan, reformasi institusi dan kebajikan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Kuasa berada di tangan rakyat. Gunakan kuasa itu dengan sebaik-baiknya untuk menentukan masa depan negeri dan negara,” katanya.
