Kestabilan Politik Kunci Kemakmuran Johor dan Malaysia – Mat Sabu

FOTO BERITA: Ucapan Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Mohamad Sabu dan Anthony Loke sempena Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Pakatan Harapan Johor disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim Pengerusi Pakatan Harapan (PH) di Kim’s Park Business Centre, Batu Pahat pada jam 8.00 malam. 6hb Jun 2026 (Sabtu)

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru rakyat Johor supaya mempertahankan kestabilan politik negara dengan memberikan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau berkata kestabilan politik merupakan faktor utama yang membolehkan negara mencatat pertumbuhan ekonomi yang positif serta menarik keyakinan pelabur asing ke Malaysia.

Berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Johor yang disempurnakan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kim’s Park Business Centre di sini malam ini, Mohamad berkata negara pernah melalui tempoh ketidakstabilan politik apabila beberapa pertukaran kerajaan berlaku dalam tempoh singkat selepas Pilihan Raya Umum 2018. terhadap negara.

Menurut beliau, keadaan itu menyukarkan usaha membina ekonomi yang kukuh dan mewujudkan keyakinan pelabur

“Bagaimana kita mahu membawa pelabur datang ke Malaysia jika kerajaan sentiasa bertukar dan tidak stabil? Sebab itu kestabilan politik amat penting untuk pembangunan negara,” katanya. Mohamad berkata pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum 2022 membuktikan kematangan politik apabila parti-parti yang berbeza pandangan sanggup bekerjasama demi kepentingan rakyat dan negara.

Mohamad berkata pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum 2022 membuktikan kematangan politik apabila parti-parti yang berbeza pandangan sanggup bekerjasama demi kepentingan rakyat dan negara.

Beliau menyifatkan hubungan antara parti-parti dalam kerajaan hari ini sebagai kukuh dan saling menghormati, sekali gus membolehkan pentadbiran negara berjalan lancar selama lebih tiga tahun.

Dalam ucapannya, beliau turut memuji kepimpinan Anwar yang disifatkan sentiasa berhati-hati dalam membuat keputusan berkaitan kebajikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Katanya, setiap cadangan dasar yang melibatkan subsidi dan kos sara hidup rakyat akan diteliti secara mendalam bagi memastikan ia tidak membebankan rakyat.

“Perdana Menteri sentiasa bertanya sama ada sesuatu keputusan itu akan memberi kesan kepada rakyat, khususnya golongan B40. Keutamaan beliau ialah memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya. Mohamad turut menegaskan bahawa pembangunan negara tidak boleh dicapai melalui politik perkauman atau dengan menyalahkan kaum lain, sebaliknya perlu berasaskan usaha meningkatkan daya saing, kemahiran dan produktiviti rakyat.

Beliau menggesa masyarakat Bumiputera supaya memanfaatkan peluang dalam sektor pertanian, penternakan dan akuakultur dengan sokongan kerajaan bagi meningkatkan pendapatan serta memperkukuh kedudukan ekonomi mereka.

“Cara memajukan Bumiputera bukan dengan memaki hamun kaum lain, tetapi dengan membantu mereka menjadi lebih berjaya melalui pendidikan, keusahawanan dan usaha yang bersungguh-sungguh,” katanya. Mohamad juga mengingatkan rakyat supaya bersedia menghadapi cabaran ekonomi dan geopolitik global yang semakin tidak menentu, termasuk konflik antarabangsa yang boleh memberi kesan kepada bekalan makanan dan ekonomi dunia.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pentingnya hubungan erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan segala perancangan pembangunan serta jaminan keterjaminan makanan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa rakyat Johor akan membuat keputusan terbaik pada Pilihan Raya Negeri akan datang dan memberikan mandat kepada Pakatan Harapan untuk menerajui negeri itu.

“Saya yakin rakyat Johor adalah rakyat yang bijak menilai. Kuasa sebenar berada di tangan rakyat dan mereka akan menentukan masa depan negeri ini demi kestabilan, keamanan dan kemakmuran bersama,” katanya.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke menyeru rakyat Johor memberikan mandat kepada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bagi memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara serta membolehkan agenda pembangunan Kerajaan MADANI diteruskan. Beliau berkata kemenangan PH di Johor dan Negeri Sembilan amat penting untuk memperkukuh kedudukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan serta memastikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terus mendapat mandat memimpin negara.

Anthony berkata kestabilan politik yang dinikmati negara sejak lebih tiga tahun lalu telah memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi dan keyakinan pelabur. Menurut beliau, walaupun kerajaan yang diterajui Anwar tidak sempurna, pelbagai pencapaian penting berjaya direkodkan termasuk kestabilan politik, pengukuhan nilai ringgit dan pengurusan ekonomi yang lebih baik.

“Faktanya, politik Malaysia lebih stabil, ekonomi berkembang dan nilai ringgit semakin kukuh di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya. Anthony turut mempertahankan langkah kerajaan dalam melaksanakan rasionalisasi subsidi yang disifatkan sebagai keputusan berani demi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Katanya, pelaksanaan subsidi bersasar berjaya mengurangkan ketirisan dan menjimatkan perbelanjaan kerajaan sehingga berbilion ringgit setahun, yang kemudiannya disalurkan semula kepada rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan dan program kebajikan. Beliau menjelaskan bahawa bantuan kerajaan kini disalurkan secara terus ke akaun penerima atau melalui sistem digital yang lebih mudah dan efisien, tanpa memerlukan rakyat beratur panjang untuk mendapatkan bantuan.

“Kita mahu memudahkan rakyat. Bantuan adalah tanggungjawab kerajaan dan mesti diberikan dengan penuh hormat serta bermaruah kepada penerima,” katanya. Dalam pada itu, Anthony turut menegaskan bahawa Kerajaan MADANI merupakan kerajaan yang inklusif dan mewakili seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang. Beliau berkata kerajaan sentiasa mempertahankan prinsip keadilan dan peluang yang saksama untuk semua rakyat, termasuk dalam bidang pendidikan.

Menyentuh isu kemasukan pelajar Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) ke institusi pengajian tinggi awam, Anthony mempertahankan keputusan kerajaan yang menurutnya bertujuan memperluaskan akses pendidikan tanpa menjejaskan hak mana-mana kaum.

“Memberi peluang pendidikan kepada anak-anak Malaysia tidak bermakna menghakis hak orang Melayu atau mana-mana kaum. Pendidikan adalah pelaburan untuk masa depan negara,” katanya. Anthony turut mengkritik pihak yang terus memainkan sentimen perkauman dan agama bagi meraih sokongan politik, sambil menegaskan bahawa rakyat kini mahukan penyelesaian kepada isu ekonomi, kos sara hidup dan pembangunan negara.

Menurut beliau, kekuatan Malaysia terletak pada perpaduan rakyat pelbagai kaum yang hidup bersama dalam suasana aman dan harmoni. “Cukuplah memainkan isu kaum dan agama. Kita mahu melihat Malaysia maju ke hadapan dengan semua rakyat hidup aman, damai dan menikmati kemakmuran bersama,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa semakin dihormati, dengan negara berjaya menarik perhatian serta kunjungan pemimpin-pemimpin utama dunia sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan MADANI. Sehubungan itu, Anthony menggesa pengundi Johor memberikan sokongan kepada calon-calon Pakatan Harapan pada PRN akan datang bagi memastikan agenda pembangunan, kestabilan politik dan kemajuan ekonomi negara dapat diteruskan.

“Kerja kita belum selesai. Malaysia sedang berada di landasan yang baik dan kita perlu meneruskan usaha membina negara yang lebih maju, inklusif dan sejahtera untuk semua,” katanya.