Rupanya ini sebab Pemuda Pas Gua Musang sangat kecewa

Dewan Pemuda Pas Kawasan Gua Musang meluahkan perasaan sangat kecewa apabila penyandang kerusi Parlimen paling selatan negeri Kelantan itu memilih untuk menyokong Kerajaan Perpaduan.

Sehubungan itu, sayap pemuda parti di kawasan tersebut mendesak supaya kerusi Parlimen Gua Musang dikembalikan kepada calon Pas pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Gua Musang, Amiruddin Ismail, berkata usul supaya kerusi Parlimen itu dikembalikan kepada calon Pas pada PRU16 sudah diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kali Ke-41 pada 21 Mei lalu.

“Sudah pasti kami sangat kecewa apabila penyandang kerusi Parlimen Gua Musang sudah memilih untuk menyokong Kerajaan Perpaduan selepas dipilih dengan mandat rakyat yang mengundi atas tiket Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Bagi Pemuda Pas Gua Musang, tindakan terbabit menimbulkan persoalan mengenai amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh pengundi,” katanya, dipetik BH.

Justeru, katanya, pengembalian kerusi Parlimen Gua Musang kepada parti dilihat sebagai langkah penting bagi memulihkan semangat jentera parti dan memperkukuhkan keyakinan penyokong.

Parlimen Gua Musang menyaksikan Tengku Razaleigh Hamzah tumbang pada PRU15 lalu apabila gagal mempertahankan kerusi itu untuk kali ke-12.

Dikenali sebagai Ku Li, beliau tewas mengejut kepada calon Bersatu-PN, Mohd Azizi Abu Naim yang hanya menang dengan majoriti tipis, 163 undi.

BACA JUGA ‘Selatan Untuk Pakatan’, Saifuddin yakin Johor mampu jadi titik permulaan kemenangan besar PH