Cerita Jaslinda dengar nama dipanggil SAR, keliling ramai tapi tak nampak sesiapa
Pendaki wanita yang menggemparkan negara dengan kehilangannya sehingga 14 hari di Gunung Batu Putih, dikatakan sebenarnya mendengar namanya dipanggil oleh pasukan SAR namun tidak melihat sesiapa.
Perkara itu diceritakan Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu di Pos Musoh, Mohd Asmadi Abdullah, 63.
Jaslinda diselamatkan oleh orang Asli dan dibawa ke rumahnya selepas wanita itu ditemui lemah berhampiran sungai.
Ketika menceritakan semula detik kejadian, Mohd Asmadi berkata, Jaslinda dengar seperti bunyi wisel dan dapat merasakan ramai orang di sekelilingnya, namun dia tidak nampak sesiapa.
“Semalam, Jaslinda memberitahu saya yang ketika berada dalam hutan itu, macam ada orang memanggilnya menyebabkan dia berasa gembira, tetapi mendapati tiada orang.
“Dia kata memang ada dengar macam bunyi wisel dan seumpamanya.
“Cuma, dia tidak nampak sesiapa walaupun terasa macam ada ramai orang di sekeliling ketika itu,” katanya memetik Berita Harian.
Semalam media melaporkan, Jaslinda menemui nota yang ditinggalkan pasukan SAR di Kem Air Busuk.
Difahamkan, nota itu ditinggalkan ketika di awal pencarian Jaslinda iaitu pada 30 Mei lalu. Namun nota itu hanya ditemui sehari sebelum dia diselamatkan penduduk orang Asli, pada 5 Jun.
Nota itu ditinggalkan Malim Gunung Perhutanan (MGP), Hafis yang tertulis; ‘Kak Jas Please Stay Satu Tempat, Orang Ramai mencari.”