Era satu parti sapu bersih dah tamat, kata Pemuda AMANAH

Timbalan Setiausaha Pemuda AMANAH Nasional, Ammar Izham berkata, era parti dominan dalam politik Malaysia telah berakhir dan semua parti perlu menerima hakikat bahawa kestabilan negara kini bergantung kepada kerjasama rentas parti.

Katanya, landskap politik negara telah berubah dan menuntut budaya politik baharu yang berteraskan kesepakatan, akauntabiliti serta kematangan.

Menurut beliau, gagasan Kerajaan Perpaduan yang menjadi asas kepada landskap politik negara hari ini lahir dalam suasana tiada parti memperoleh majoriti mutlak selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, kestabilan tidak boleh bergantung kepada hubungan peribadi antara pemimpin semata-mata, sebaliknya perlu diperkukuh melalui perjanjian, persefahaman dan komitmen institusi.

Namun katanya, politik Malaysia masih dibayangi oleh segelintir pemimpin oportunis yang melihat kuasa sebagai matlamat, bukan amanah. 

“Mereka cenderung mengukur kejayaan melalui jawatan dan pengaruh, sedangkan rakyat mengukur kejayaan melalui harga barang yang stabil, peluang pekerjaan yang mencukupi dan perkhidmatan awam yang berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru katanya, menjelang Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan akan datang, fokus utama bukan sekadar menentukan siapa menang atau kalah. 

Yang lebih penting ialah memastikan wujudnya komitmen jelas antara parti-parti politik untuk menghormati mandat rakyat sehingga tamat penggal, memperkukuh perjanjian kerjasama politik dan menolak budaya pengkhianatan yang menggugat kestabilan.

“Rakyat perlu menyedari bahawa era parti dominan telah berakhir. Politik abad ke-21 menuntut budaya baharu yang berteraskan kesepakatan, akauntabiliti dan kematangan.

“Kapal yang sedang belayar dalam lautan bergelora tidak boleh ditukar nakhodanya sesuka hati di tengah badai. Sebaliknya, ia perlu dipandu dengan kebijaksanaan, kesetiaan kepada amanah dan komitmen untuk sampai ke destinasi yang telah dipilih oleh rakyat.

“Kestabilan politik bukan milik mana-mana parti. Ia adalah hak rakyat dan prasyarat utama kepada kemajuan negara,” tambahnya lagi.

BACA JUGA BN Johor habis madu sepah dibuang, dulu masa nak kuasa elok je berkawan DAP