Pas terus pertikai kejujuran Bersatu, kepercayaan yang sudah pecah

Pas terus mempertikaikan tahap kejujuran dan komitmen Bersatu sebagai rakan dalam Perikatan Nasional (PN), dengan menyifatkan beberapa episod politik sebelum ini telah menghakis kepercayaan yang dibina antara kedua-dua parti.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, walaupun beliau tidak meragui keikhlasan Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin yang menyatakan hasrat untuk mengekalkan hubungan baik dengan Pas, persoalan sebenar adalah sama ada tindakan parti itu selari dengan kenyataan yang dibuat.

Menurutnya, hubungan politik yang dibina atas dasar persefahaman dan kepercayaan tidak boleh dinilai hanya melalui kenyataan yang baik, sebaliknya perlu diukur berdasarkan tindakan ketika berdepan situasi paling kritikal.

“Kepercayaan yang terguris bukan mudah dipulihkan.

“Saya tidak meragui keikhlasan Tan Sri Muhyiddin dalam menyatakan pendirian tersebut.

“Namun, hubungan politik yang dibina atas nama persefahaman dan kepercayaan tidak boleh hanya dinilai berdasarkan kenyataan yang baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Fadhli merujuk kepada isu pelantikan Menteri Besar Perlis selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang menurutnya masih menimbulkan tanda tanya dalam kalangan ahli dan penyokong Pas.

Beliau mempersoalkan tindakan Bersatu yang didakwa tergesa-gesa menghantar nama calon Menteri Besar daripada parti itu tanpa rundingan dengan Pas.

Katanya, alasan kononnya wujud titah diraja yang menjadi asas kepada tindakan tersebut juga terus menimbulkan persoalan kerana tidak pernah dijelaskan secara tuntas.

Akuan bersumpah

Pada masa sama, Ahmad Fadhli turut membangkitkan dakwaan mengenai kewujudan akuan bersumpah (SD) yang didakwa ditandatangani oleh ADUN Bersatu bersama tiga bekas ADUN Pas bagi menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar dari Pas.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, walaupun terdapat pihak dalam Bersatu yang menafikan kewujudan SD berkenaan, kenyataan Menteri Besar Perlis sebelum ini yang menyebut hanya Raja Perlis mengetahui perkara itu telah menimbulkan lebih banyak persoalan.

“Jika SD tersebut tidak wujud, mengapa tidak dinafikan secara terus dan jelas?

“Mengapa kewujudannya hanya disandarkan kepada pengetahuan Raja Perlis?” soalnya.

Ahmad Fadhli berkata, hasil siasatan Pas mendapati SD tersebut sememangnya wujud berdasarkan pengakuan tiga bekas ADUN Pas yang disaksikan kepimpinan tertinggi parti itu di peringkat pusat dan negeri.

Selain isu Perlis, beliau turut membangkitkan perkembangan politik di Negeri Sembilan yang menurutnya menambahkan lagi keraguan terhadap komitmen Bersatu dalam menghormati keputusan bersama PN.

Katanya, pendirian yang dipersetujui secara kolektif oleh ADUN-ADUN PN boleh berubah hanya melalui keputusan Biro Politik Bersatu tanpa rundingan dengan Pas atau kepimpinan gabungan yang lain.

Kesan mendalam

Beliau turut mempersoalkan alasan bahawa Setiausaha Agung Pas gagal dihubungi ketika keputusan tersebut dibuat.

“Apakah keadaan yang begitu mendesak sehingga keputusan yang telah dipersetujui bersama perlu diubah serta-merta?

“Apakah hambatan yang menyebabkan rundingan tidak boleh dilakukan terlebih dahulu?” katanya.

Menurut Fadhli, kedua-dua episod tersebut telah meninggalkan kesan mendalam terhadap tahap kepercayaan antara parti-parti dalam PN.

Beliau menegaskan bahawa hubungan politik dan kerjasama masih boleh diteruskan, namun kepercayaan yang telah rosak jauh lebih sukar untuk dipulihkan.

“Trust, once broken, is hard to rebuild.

“Kepercayaan bukan dibina melalui ucapan. Ia dibina melalui tindakan. Dan apabila kepercayaan itu terguris, proses untuk memulihkannya jauh lebih sukar daripada proses untuk merosakkannya,” katanya.

Tambahnya, sebarang keputusan yang bakal dibuat Pas dalam masa terdekat akan mengambil kira bukan sahaja keadaan semasa, tetapi juga rentetan peristiwa yang menurutnya telah menghakis kepercayaan yang diberikan kepada Bersatu selama ini.

BACA JUGA Utamakan rakyat bukan politik kebencian, Sheikh Umar persoal keutamaan Onn Hafiz