PRN Negeri Sembilan: Loke sasar PH menang 20 kerusi

DAP Negeri Sembilan menyasarkan Pakatan Harapan (PH) memenangi sekurang-kurangnya 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusinya, Anthony Loke, berkata keyakinan itu bersandarkan rekod PH yang pernah memenangi 20 daripada 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

“Kita sasarkan PH memenangi 20 kerusi DUN seperti mana rekod yang kita pernah menangi pada tahun 2018.

“Jadi, kita berharap rakyat Negeri Sembilan akan memberikan mandat kepada PH untuk terus mentadbir negeri ini,” katanya.

Loke berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan, di Seremban hari ini.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, parti tersebut akan memainkan peranan untuk menyokong rakan-rakan dalam PH bagi memenangi kerusi-kerusi lain, sekali gus memenangi sekurang-kurangnya 20 kerusi.

Dalam masa sama, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah akan terus mempertahankan kerusi yang terletak di bawah kawasan Parlimen Jelebu itu.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, keputusan terbabit mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti dan jawatankuasa negeri.

Menurutnya, DAP juga akan mempertahankan 11 kerusi DUN yang dimenangi pada PRN ke-15 pada 2023 dengan senarai calon akan diumumkan dalam masa terdekat.

Selain Chennah, 10 kerusi DUN dikuasai DAP adalah Bahau, Nilai, Lobak, Temiang, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau, Seremban Jaya, Lukut dan Repah.

Loke menegaskan parti itu akan memainkan peranan secara bersungguh-sungguh untuk memenangi semua kerusi yang ditandingi.

“Bagi mencapai hasrat itu, saya telah membuat keputusan, dengan sokongan CEC serta jawatankuasa negeri, untuk terus mengetuai kempen pilihan raya dan bertanding pada PRN kali ini,” kata pemimpin DAP berkenaan lagi.

BACA JUGA PH mula kempen Johor dengan ‘menjual’ prestasi, BN mula dengan tanam ketakutan