SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026 berjalan lancar, KPDN hargai kerjasama peniaga

FOTO BERITA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merakamkan penghargaan kepada komuniti peniaga serta pihak industri atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026 yang berlangsung dengan lancar dan teratur. (Gambar: UKK KPDN)

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, skim yang berkuat kuasa selama sembilan hari bermula 27 Mei hingga 4 Jun 2026 di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan itu berjaya mencapai objektif utamanya dalam membantu mengimbangi kos sara hidup rakyat sepanjang musim perayaan. Menurut beliau, KPDN telah mempergiatkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan menerusi 2,463 pemeriksaan yang melibatkan peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit bagi memastikan bekalan serta harga barangan keperluan sentiasa terkawal

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, sebanyak 31 kes telah diambil tindakan, kesemuanya melibatkan kegagalan mempamerkan tanda harga merah jambu bagi barangan harga terkawal. Tiada kesalahan menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan dikesan sepanjang tempoh pelaksanaan skim,” katanya dalam satu kenyataan. Beliau berkata, statistik tersebut menunjukkan tahap pematuhan yang tinggi dalam kalangan peniaga dan pemain industri terhadap peraturan yang ditetapkan kerajaan. KPDN turut mendapati pihak industri dan peruncit mematuhi harga maksimum bagi 17 jenis barangan harga terkawal yang diwartakan sepanjang musim perayaan berkenaan.

Datuk Azman menegaskan, kejayaan pelaksanaan SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026 adalah hasil kerjasama erat antara penguatkuasaan proaktif KPDN, komitmen peniaga serta maklum balas positif daripada pengguna. “Secara keseluruhannya, pelaksanaan skim ini berjalan dalam keadaan yang kondusif dan berjaya memastikan pengguna mendapat akses kepada barangan keperluan pada harga yang berpatutan,” katanya

Tambah beliau, KPDN akan terus memantau kedudukan bekalan dan harga barangan keperluan harian secara berterusan bagi memastikan pengguna sentiasa dilindungi daripada sebarang bentuk manipulasi harga yang tidak munasabah. Beliau turut mengingatkan semua pihak agar terus mematuhi peraturan yang ditetapkan demi memastikan kestabilan pasaran serta kesejahteraan pengguna di seluruh negara.