KPDN Selangor gagalkan cubaan seleweng diesel bersubsidi, rampasan bernilai RM50,000 di Teluk Panglima Garang

FOTO BERITA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor terus memperkukuh usaha membanteras ketirisan subsidi negara menerusi pelaksanaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu), apabila berjaya menggagalkan satu aktiviti penyimpanan diesel secara haram di sebuah premis tanpa nombor di Teluk Panglima Garang, Selangor. (Gambar: KPDN Selangor)

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’Ari berkata, serbuan yang dijalankan kira-kira jam 5 petang pada 8 Jun lalu merupakan hasil pemantauan dan rondaan risikan selama dua minggu di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan hotspot aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi. Menurut beliau, pemeriksaan mendapati premis berkenaan menyimpan bahan api dipercayai diesel tanpa lesen sah serta tidak mempunyai kebenaran untuk menyimpan barang kawalan berjadual

“Hasil pemeriksaan awal menemukan sebuah Skid Tank berkapasiti kira-kira 30,000 liter yang mengandungi lebih kurang 4,000 liter diesel disyaki disimpan secara tidak sah. Turut ditemui pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pemindahan bahan api termasuk hos penyambung, pam dan flow meter,” katanya dalam satu kenyataan. Kesemua bahan api, Skid Tank serta peralatan yang ditemui telah disita bagi tujuan siasatan lanjut..

Dalam operasi sama, anggota penguat kuasa turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia bawah 30 tahun yang dipercayai berperanan sebagai pekerja atau penjaga premis tersebut. Pemeriksaan awal mendapati individu berkenaan gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan pemilikan dan pengendalian barang kawalan berjadual jenis diesel.

KPDN percaya aktiviti tersebut melibatkan transaksi mencurigakan berkaitan barang kawalan dan berpotensi disiasat di bawah Seksyen 20(1) dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) kerana memiliki barang kawalan dengan syak munasabah untuk melakukan kesalahan urus niaga tanpa lesen yang sah.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM50,000, manakala tindakan tersebut berjaya menyelamatkan subsidi negara bernilai kira-kira RM15,000. Dalam perkembangan berkaitan, KPDN Selangor memaklumkan bahawa sepanjang pelaksanaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bermula 16 Mac hingga 8 Jun 2026, sebanyak 2,794 pemeriksaan telah dilaksanakan di seluruh negeri.

Daripada jumlah itu, sebanyak 57 kes telah dihasilkan dengan nilai sitaan keseluruhan mencecah RM2 juta, manakala nilai subsidi negara yang berjaya diselamatkan dianggarkan sebanyak RM265,000.

Muhamad Hanif menegaskan bahawa KPDN Selangor tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang.

Beliau berkata, individu yang disabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, selain hukuman penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.