RM40 juta untuk usahawan Johor! : Kita mahu PMKS bukan sekadar bertahan, tetapi berkembang
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan hampir RM40 juta dalam bentuk pembiayaan, geran dan bantuan kewangan kepada usahawan, syarikat serta koperasi di Johor sempena Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) 2026 dan Mini Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Peringkat Negeri Johor.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong, berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada agenda Hebatkan Perniagaan Malaysia bagi memperkukuh budaya keusahawanan, memperluaskan jaringan perniagaan serta meningkatkan akses perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada pelbagai bentuk sokongan kerajaan.
“Karnival HPM merupakan inisiatif KUSKOP di bawah agenda Hebatkan Perniagaan Malaysia yang bertujuan memperkukuh budaya keusahawanan, memperluas jaringan perniagaan serta meningkatkan akses PMKS dan koperasi kepada pelbagai bentuk sokongan pembangunan perniagaan,” katanya ketika menyempurnakan majlis penutupan program itu.
Beliau berkata, selain menyediakan platform pameran dan promosi produk tempatan, program tersebut turut menawarkan sesi bimbingan keusahawanan bagi membantu usahawan meningkatkan daya saing perniagaan.
Karnival yang berlangsung dari 5 hingga 7 Jun itu merekodkan jualan produk usahawan sebanyak RM240,000, menarik 11,563 pengunjung, serta membuka peluang padanan perniagaan bernilai sehingga RM6.394 juta melibatkan 19 usahawan.
Sebagai rakan strategik Karnival HPM 2026, TikTok Shop turut menyokong usaha pendigitalan PMKS melalui pelbagai inisiatif pemerkasaan usahawan.
Program itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Top 5 Jutawan TikTok Shop kepada usahawan di bawah TEKUN Nasional yang berjaya mencatat jualan melebihi RM1 juta dalam tempoh setahun.
Pada masa sama, KUSKOP turut menganjurkan Program Halal Sukses KUSKOP Johor dengan kerjasama Johor Halal Development Corporation (JHDC) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Program tersebut memberi pendedahan mengenai Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030, tatacara Halal Green Lane Johor, peluang jaminan pembiayaan perniagaan oleh SJPP, pemasaran digital oleh Maxis, serta strategi mengembangkan perniagaan melalui TikTok Shop.
Johor merupakan lokasi pertama penganjuran Karnival HPM bagi tahun 2026, manakala siri seterusnya akan diadakan di Morten Walk, Melaka dari 19 hingga 21 Jun 2026.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin, serta Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud.
BACA JUGA 103 hari jadi pengerusi PN, Bersatu dakwa Samsuri gagal hingga Pas putus hubungan