Semua terima nasib sama bila bekerjasama dengan Pas, kata Saifuddin

Bukan perkara baharu bagi Pas untuk berpisah dengan rakan politiknya apabila hampir semua kerjasama yang pernah dijalin parti itu sebelum ini berakhir dengan perpecahan.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi contoh kerjasama beberapa parti yang menerima nasib sama seperti Bersatu ketika ini.

Antaranya Semangat 46, PH, Umno, serta Bersatu yang baru sahaja diputuskan hubungan oleh Pas.

“Kita tengok kerjasama dengan semangat Semangat 46, atau pun PH sendiri, kemudian dengan Umno, kemudiannya Bersatu, semua menerima nasib yang sama”.

“Lepas ini siapa lagi? Siapa saja yang bergabung dengan dia berakhir dengan perceraian. Isunya talak satu, talak dua atau talak tiga,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Saifuddin, walaupun alasan yang diberikan parti itu adalah demi penyatuan ummah, tafsiran mengenai perkara tersebut sering berubah mengikut sudut pandang parti berkenaan.

“Walaupun alasannya sama iaitu penyatuan ummah, semua itu mengikut tafsiran dan sudut pandang dia lah. Sebab itu saya kata, dari segi politik ini dia dinamik.

“Rukun prinsip politik dalam Islam ialah tegakkan keadilan, menyeru makruf dan mencegah mungkar, mengajak kepada kebaikan, menyemaikan sifat kasih sayang, perpaduan. Itu prinsip dalam politik Islam,” katanya lagi.