Trump: Rundingan AS-Iran di peringkat akhir, perjanjian boleh dimeterai dalam dua hari

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata rundingan antara Washington dan Tehran masih diteruskan walaupun ketegangan ketenteraan antara Iran dan Israel memuncak, sambil menyatakan satu perjanjian untuk menamatkan konflik berkemungkinan dimeterai dalam tempoh satu atau dua hari lagi.

Menurut Trump, proses rundingan tidak pernah terhenti sepanjang tempoh serangan balas antara kedua-dua negara dan kini berada di peringkat akhir.

“Mereka berulang-alik dalam rundingan dan kini kedua-duanya bersetuju melalui saya untuk menghentikan serangan. Kita berada di penghujung proses ke arah satu perjanjian yang sangat baik dan tidak akan membenarkan sebarang bentuk pemilikan senjata nuklear,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika bersiap untuk kembali ke Rumah Putih selepas menghadiri perlawanan akhir NBA di New York.

Trump turut memberi bayangan bahawa Selat Hormuz akan dibuka semula sebaik sahaja perjanjian dimeterai.

“Selat Hormuz akan dibuka serta-merta selepas perjanjian ditandatangani, dan ia mungkin berlaku dalam tempoh dua atau tiga hari,” katanya.

Kenyataan itu dibuat hanya beberapa jam selepas Iran dan Israel dilaporkan bersetuju menghentikan serangan antara satu sama lain dalam usaha mengekalkan gencatan senjata yang masih rapuh.

Ketegangan di Asia Barat meningkat sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan udara terhadap Iran pada 28 Februari, sekali gus mencetuskan siri tindakan balas yang berlarutan.

Situasi itu semakin memuncak apabila Israel menyerang ibu negara Lubnan, Beirut, pada Ahad walaupun gencatan senjata berasingan masih berkuat kuasa di negara tersebut.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke arah utara Israel, manakala Israel membalas dengan beberapa gelombang serangan udara terhadap sasaran di Iran.

Tentera Iran kemudiannya memaklumkan bahawa mereka menghentikan serangan ke atas Israel, namun memberi amaran akan memberikan tindak balas yang “menghancurkan” sekiranya Israel meneruskan serangan terhadap Lubnan.

Pada masa sama, media Israel yang memetik sumber tidak dinamakan melaporkan bahawa negara itu bersetuju menghentikan serangan udara terhadap Iran, tetapi akan meneruskan operasi ketenteraan di selatan Lubnan.

BACA JUGA DBKL bakal ucap selamat tinggal kepada OSC Khas?